“Maaflah, Lyn terlambat sikit…”
“Ini bukan terlambat sikit, Lyn. Dah terlambat banyak ni!” sahut Reza dengan suara yang sengaja diseriuskan. Idham turut cuba menahan diri dari tersengih melihat perubahan mendadak suara Reza. Dia tahu temannya itu sedang mengusik Azlyn.
“Alah, Lyn ada hal sikit tadi. Bukan sengaja nak datang lambat. Pakcik teksi tulah, dia pergi pusing ikut jalan jauh! Lyn dah ajar dia jalan short-cut. Dia tak nak dengar. Dia kata kalau Lyn pandai sangat selok-belok jalan, kenapa tak nak jadi pemandu teksi. Ish, geram betul dengan pakcik tu!”
Suara manja Azlyn yang mengadu perihal pemandu teksi yang menyebabkan ketibaannya sedikit lewat itu membuatkan Reza melepaskan tawanya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan adik bongsu mereka. Azlyn tersengih-sengih menyambut huluran salam itu. Dia kemudia bersalam pula dengan Idham.
“Lyn terus cari bonda tadi. Tapi, bonda dah takde. Lama Lyn sedih-sedih dalam bilik pengetua tu. Lepas dah rasa lega, baru Lyn datang sini cari korang semua…”
“Takpelah Lyn. Kami tak marah pun Lyn lambat. Lagipun, ada seorang lagi belum sampai ni. Lyn bukanlah yang terakhir tiba,” balas Idham menenangkan Azlyn. Memang sikap manja Azlyn tidak pernah berubah. Manja dan sangat sensitif.
“Eh, siapa yang tak sampai lagi..?” Azlyn memandang ketiga-tiga muka teman baiknya, lalu meyambung sebelum antara mereka sempat menjawab, “…Kimi!”
“Sarah yang pertama sampai. Lepas tu jumpa Id kat bilik bacaan. Lepak-lepak sini, baru si Reza ni sampai. So, sekarang kita tunggu Kimi jelah. Lepas tu baru kita decide nak ke mana, okay?” Sarah bersuara sementara yang lain-lainnya bersetuju saja.
“Reza ingat Lyn datang dengan bodyguard Lyn tadi,” kata Reza ketika masing-masing hampir terdiam tanpa sebarang topik perbualan.
“Bodyguard?? Lyn mana ada bodyguard. Ingat Lyn anak angkat orang kaya ke sampai nak kena ada bodyguard…?” jawab Azlyn mesra. Dia faham benar apa yang dimaksudkan oleh Reza. Jelas sekali tentang ketiga-tiga orang adik-beradik angkatnya.
“Sarah yang beritahu kami, Lyn ada bodyguard,” sampuk Idham tiba-tiba. Dia memandang wajah Sarah yang sudahpun menjegilkan mata bulatnya.
“Sarah berguraulah tu. Lyn memang takde bodyguard la, cik abang semua. Lyn jaga diri sendiri je…” balas Azlyn sambil tersenyum lebar. Dia merasa tenang dapat bertemu dengan teman-teman baiknya itu. Melupakan seketika kedinginan hubungannya dengan mak dan Hashim merupakan penawar terbaik untuk sakit hatinya itu.
“Tapi, memang betulkan Lyn ada 3 orang adik-beradik angkat lelaki…?” Tanya Sarah gusar. Bimbang jika maklumat yang diterimanya salah. Jika salah, bermakna dia sudah menipu Idham sebentar tadi.
“Betul. Lyn ada 2 orang abang angkat dan seorang adik angkat lelaki. Mungkin itu yang Sarah maksudkan sebagai bodyguard Lyn agaknya.”
Sarah membalas pandangan Idham. Dia merasa kemenangan berada di pihaknya. Dia tersengih melihat perubahan wajah Idham yang akhirnya tertawa sendiri.
“So, macam mana dengan family Lyn..? Diorang layan Lyn dengan sangat baik, kan..?” Tanya Reza sekali lagi.
Azlyn tersenyum tawar. Mengenangkan wajah mak ketika dia keluar rumah beberapa tahun yang lalu, membuatkan hatinya kembali membengkak. Layanan yang diterima selama 10 tahun menjadi anak angkat keluarga Sanusi tidaklah begitu membahagiakan. Walaupun Sanusi, Hafiz dan Hanif sangat-sangat baik terhadapnya, namun sikap ‘singa betina’ Normah amat-amat tidak disenanginya. Normah sering berpura-pura baik terhadapnya jika Sanusi ada di rumah. Normah akan terus bertukar watak sebaik saja Sanusi hilang dari pandangan mata. Dia, Hafiz dan Hanif diugut supaya tidak melaporkan kepada Sanusi tentang sikap buruknya terhadap Azlyn.
“Ayah Lyn baik sangat. Dia tak pernah marah-marah Lyn. Abang Hafiz pun sama. Abang Hafiz tu pandai. Dia selalu ajar Lyn kalau Lyn tak tahu dalam pelajaran Lyn. Abang Hafiz tu sikapnya saling tak tumpah macam sikap Id. Setiap kali berbual dengan abang Hafiz, mesti Lyn akan teringatkan Id. Adik Hanif pula manja orangnya. Dia tak pernah buat Lyn kecil hati. Dia selalu ada waktu Lyn sedih, gembira…tapi…”
“Tapi kenapa Lyn..?” tanya Sarah pantas.
“Tapi, adik Hanif dah takde. Dia meninggal sebab demam panas. Masa tu ayah takde kat rumah. Mak buat tak peduli je. Abang Hafiz pula dekat asrama. Lyn tak tahu nak buat apa. Lyn berlari minta pertolongan jiran. Jiran Lyn yang bawa adik Hanif pergi hospital. Tapi, dah terlambat. Adik Hanif tak dapat diselamatkan lagi..” tenang Azlyn bersuara. Dia tersenyum membayangkan wajah arwah adik kesayangannya itu.
“Kenapa mak Lyn buat tak tahu masa tu..? Apa masalah dia sebenarnya..?” tanya Idham, tak puas hati. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena tentang hubungan Azlyn dengan keluarga angkatnya.
“Mak cuma sayangkan abang Hashim. Mak kata, anak dia cuma abang Hashim seorang. Sebab tu mak tak pernah peduli apa yang terjadi pada abang Hafiz, adik Hanif dan Lyn. Kadang-kadang, ayah pun tak dipedulikan. Kesian ayah, penat-penat keluar mencari rezeki, balik rumah dapat layanan yang dingin pula daripada mak. Lyn selalu temankan ayah. Lyn tak nak ayah rasa sedih. Tapi, sejak adik Hanif takde, ayah terus jatuh sakit. Ayah kata, adik Hanif bawa semangat ayah pergi sekali. Ayah selalu mimpikan adik Hanif…”
Sarah menggenggam lembut tangan Azlyn. Cuba untuk mengurangkan rasa sebak dalam diri temannya itu. Reza dan Idham terdiam seribu bahasa. Tidak menyangka sama sekali begitulah nasib yang menimpa adik bongsu mereka.
Azlyn cuba menahan airmatanya dari merembes keluar. Dia sudah banyak menangis. Dia tidak mahu menangis lagi. Dia tidak mahu dianggap lemah. Dia mahu menjadi kuat. Hafiz selalu berpesan kepadanya supaya menjadi seorang yang tabah dan bersemangat waja.
“…tak lama lepas tu, ayah pula meninggal dunia. Lyn demam teruk sebab rindukan ayah. Lyn hanya ada abang Hafiz je. Abang Hafiz banyak berkorban untuk Lyn. Dia sanggup keluar dari asrama semata-mata nak jaga Lyn di rumah. Lepas SPM, abang Hafiz terus bekerja sebab nak menyara hidup kami berdua. Mak memang tak ambil peduli tentang hal kami lagi. Lyn faham kalau dia tak pedulikan Lyn. Tapi, kenapa dia layan abang Hafiz umpama abang Hafiz tu anak angkat..? Abang Hafiz baik sangat. Mak memang kejam buat abang Hafiz macam tu!”
“Abang Hafiz kerja keras untuk pastikan hidup Lyn sempurna. Dia tak mahu Lyn berlapar. Dia tak nak tengok Lyn pakai baju buruk. Setiap hari dia akan temankan Lyn walau sepenat mana pun dia bekerja. Satu hari…”
Azlyn terhenti bercerita. Rasa sebak mula menguasai diri. Dia menarik nafas, dalam. Cuba mengelakkan pandangan teman-temannya, Azlyn berpura-pura melihat barisan semut yang menuju ke arah sarang mereka.
Reza segera melutut di depan Azlyn yang duduk bersebelahan dengan Sarah. Perbuatannya itu menimbulkan tanda tanya yang lain. Reza memegang erat tangan Azlyn. Dia cuba menenangkan perasaan adik bongsunya itu tanpa meluahkan kata-kata. Tidak sanggup lagi dia mendengar sambungan cerita Azlyn. Begitu pahit perjalanan yang terpaksa ditempuh oleh gadis itu.
“Jangan risau Reza, abang Hafiz masih hidup hingga ke hari ini…” Azlyn menjelaskan sambil tersenyum. Dia boleh membaca apa yang tersirat di fikiran Reza ketika itu. Kelihatan wajah Reza bertukar senang.
“Kau ni buat suspen jelah Reza! Terkejut aku…tiba-tiba je melutut depan Lyn!” tempelak Sarah. Idham hanya menggelengkan kepalanya.
“Habis tu, kau nak aku melutut depan kau pula ke..?” tanya Reza kebingungan. Salahkah niatnya tadi yang hanya sekadar mahu menenangkan Azlyn..?
“Kalau kau melutut depan Sarah dah jadi lain Reza. Kena ada cincin sekali!” Idham mengenakan kedua-dua orang temannya.
“Id!” Reza dan Sarah serentak menyebut keras nama teman mereka itu. Idham ketawa terbahak-bahak, diikuti dengan Azlyn yang turut sama tertawa.
“Lyn ingat cinta monyet korang dulu dah takde lagi. Rupanya dalam diam korang masih simpan perasaan ye..?”
“Mengarut!” sekali lagi Reza dan Sarah bersuara serentak.
“Tengok. Cakap pun nak sama-sama. Ada jodohlah tu!” semakin galak Idham mengusik Reza dan Sarah. Mereka kemudiannya tertawa bersama.
“Lyn, apa yang dah jadi dengan abang Hafiz sekarang..?” tanya Reza setelah tawa mereka reda.
“Abang Hafiz ada kat rumah. Takde apa-apa yang berlaku pada dia. Cuma, Lyn kesiankan abang Hafiz. Lyn rasa dia dah sangat penat menjaga Lyn. Mungkin dah tiba masanya untuk Lyn membalas jasa baik dia selama ni,” balas Azlyn tenang. Dia tidak mahu mengeruhkan mood teman-teman dengan kisah hidupnya.
“Betul ke…?” tanya Reza was-was. Dia meragui jawapan Azlyn. Bagaikan ada yang tidak kena.
“Betul. Abang Hafiz dengan Lyn hidup lebih bahagia tanpa mak. Walaupun kadang-kadang Lyn tengok abang Hafiz banyak berdiam diri. Mungkin rindukan arwah ayah dan adik Hanif agaknya,” Azlyn cuba meyakinkan Reza. Dia tersenyum, menyembunyikan resah hati yang tersimpan selama ini.
“Lyn boleh ceritakan pada kami. Kami sentiasa ada untuk Lyn. Kita tak akan berpisah lagi. Kita akan sentiasa bersama lepas ni,” Idham bersuara, memberi lebih ketenangan kepada Azlyn.
Azlyn hanya mengangguk. Dia tahu mereka memang boleh menemaninya seperti suatu ketika dahulu. Cuma, dia saja yang mungkin tidak boleh meluangkan masa dengan mereka seperti dahulu. Ada tanggungjawab besar yang perlu digalasnya. Azlyn tidak mahu membebankan teman-temannya dengan masalah yang dihadapi. Namun, kehadiran mereka kembali dalam hidupnya, amat dihargainya.
No comments:
Post a Comment