'Keluarga ni pelik betul. Tadi dalam kereta, dua-dua banyak cakap. Dah sampai rumah, tak cakap apa-apa pula. Diorang ni betul ke ambil aku jadi anak angkat..? Ke ada tujuan lain..?' hati Hakimi mula berbicara. Dia merenung penuh tanda tanya wajah ibu dan ayah angkatnya.
Hakimi segera masuk ke dalam rumah setelah diarahkan oleh ibu angkatnya. Dia meninggalkan mereka berdua untuk membawa masuk barang-barangnya. Hakimi tercegat di ruang tamu rumah itu. Dia bagaikan berada di alam mimpi. Semuanya kelihatan amat terang dan cerah sekali. Set perabot berwarna putih menjadi pilihan ibu dan ayah angkatnya.
"Kenapa tercegat kat situ..? Mari duduk sini," tegur Jamal, ayah angkat Hakimi. Lelaki itu kelihatan amat muda. Mungkin usianya di awal 30-an. Isterinya yang merupakan ibu angkat Hakimi, juga kelihatan amat muda. Muda-muda macam ni dah ambil keputusan untuk membela anak angkat..betul ke diorang ni..?
"Lepas ni, abah takkan selalu ada kat rumah. Jadi, Kimi kena temankan ibu. Jangan biarkan ibu keseorangan, faham?" beritahu Jamal, memulakan sesi perbualan mereka.
"Abah nak pergi mana?" tanya Hakimi ingin tahu.
"Kerja."
Ringkas sekali Jamal menjawab. Tiada segaris senyuman pada bibirnya. Cuma Helena saja yang tersenyum mesra sejak dari awal tadi.
Hakimi mengangguk lemah. 'Depan Bonda tadi, bukan main manis lagi mulut kau, kan? Sekarang ni, nak senyum pun susah. Apalah nasib aku dapat keluarga angkat macam ni..?' keluh Hakimi di dalam hatinya. Dia terbayangkan keseronokan yang dikecapi oleh teman-teman baiknya bersama-sama dengan keluarga angkat mereka. Ah, bertuah sungguh mereka!
"Ibu kan ada..? Kimi takkan keseorangan nanti. Kimi temankan ibu, ibu temankan Kimi..okay?" Helena bersuara, memujuk Hakimi yang kelihatan seperti sedang merajuk.
“Kimi kena faham, abah tak boleh buat kerja macam dulu. Abah kena kerja keras. Sekarang abah dan ibu dah ada Kimi. Abah tak nak tengok hidup Kimi melarat. Abah nak Kimi hidup senang. Itu tujuan abah ambil Kimi jadi anak angkat abah," Jamal memberi penjelasan. Hakimi kelihatan agak terpujuk dengan kata-kata Jamal.
"Kimi tak minta untuk hidup mewah. Cukuplah Kimi dapat rasa kasih sayang abah dan ibu. Itu yang Kimi tak pernah dapat sejak dari lahir lagi.." beritahu Hakimi. Suaranya kedengaran sayu.
"Abah akan jaga Kimi sebaik mungkin. Kimi jangan susah hati, " balas Jamal. Suaranya masih kedengaran kurang mesra. Namun, ada segaris senyuman di bibirnya. Helena memaut bahu Hakimi dengan tangan kirinya. Tangan kanannya kini mengusap lembut dada Hakimi.
"Ibu akan sayang Kimi dengan seluruh kasih sayang yang ibu ada. Kimi jangan bimbang ya, sayang," Helena menyambung kata-kata suaminya.
Helena tahu, seharusnya dia yang bertanggungjawab untuk memberi perhatian dan menjaga Hakimi. Dia yang beria-ia meminta Jamal menguruskan segala prosedur untuk mengambil anak angkat. Dia yang telah disahkan oleh doktor tidak boleh mengandung kerana masalah ketumbuhan yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu, sering berasa sunyi dengan ketiadaan Jamal di rumah. Jamal yang sering saja bertugas diluar kawasan, jarang dapat menemaninya. Tambahan pula, Helena merupakan isteri kedua Jamal. Jadi, waktu untuk bersama-sama Jamal amatlah terhad.
Helena kini tidak perlu bimbang lagi jika Jamal tidak dapat menemaninya seperti dulu. Dia yang sering berasa cemburu dengan madunya yang telah memberi 3 orang cahaya mata kepada Jamal, kini boleh menarik nafas lega. Tiada lagi perasaan cemburu yang bersarang di hati. Dia bertekad akan menjaga Hakimi dengan sebaik mungkin. Hakimi akan benar-benar menjadi sebahagian dari hidupnya.
Hakimi mulai tenang. Dia cuba membalas senyuman Helena, yang kini dipanggil ibu olehnya. Walau apapun yang akan berlaku, itulah takdir yang akan ditempuhinya kelak. Hakimi pasrah.
No comments:
Post a Comment