Pages

Tuesday 29 December 2020

Aku, Tahun 2020 dan Pandemik Covid-19

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalammualaikum wbt. Salam khas buat diriku sendiri. Pejam celik, pejam celik, tahun 2020 bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Lagi 2 hari kita akan melangkah ke tahun 2021.

Bagi yang berazam tu, so, macam mana? Tercapai tak semua azamnya? Alhamdulillah bagi mereka yang berjaya. Dan, jangan putus asa bagi mereka yang tidak berjaya pada kali ini. Masih ada masa, ruang dan peluang untuk kita raih kejayaan itu.

Bagi diri aku sendiri, tahun 2020 ni merupakan tahun yang agak tough juga. Dengan seluruh dunia dilanda pandemik covid-19, kita masing-masing berperang dengan ekonomi sendiri, kan? Bagi yang bernasib baik masih boleh mencari rezeki, alhamdulillah. Bagi yang kurang bernasib baik, aku doakan moga pintu rezeki semua akan dibuka seluas-luasnya lepas ni. In shaa Allah.

Bagi kami sekeluarga, rezeki yang terduga bila encik suami dipanggil bekerja pada pertengahan bulan Jun yang lepas. Sujud syukur aku. Besarnya rahmat Allah. Baiknya Allah. Sayangnya Allah pada kami.

Walaupun kami terpaksa menjadi weekend husband and wife, tapi demi mencari rezeki yang halal, maka hal seperti itu kami letak ketepi. Yang penting, keselesaan anak-anak. Tambahan pula, si Sulung ni dah mula bersekolah. Maka bertambah-lah perbelanjaan kami.

Buat diri aku sendiri, kini aku sedang berjinak-jinak dalam bidang hartanah. Ya, ini adalah salah satu bidang yang tidak ingin aku ceburi, satu masa dahulu. Kini, aku semakin selesa, suka dan sentiasa mahu belajar ilmu baru. Dan, aku juga bergelar bagmaker bila mana aku semakin aktif mengambil tempahan menjahit bag. Nanti-lah aku kongsikan di entri yang lain ye.

Sekarang ni, sudah hampir 6 bulan aku dan encik suami berstatus PJJ, tapi sedikitpun tidak melunturkan semangat dia untuk terus berjuang mencari rezeki yang halal. Kami sentiasa memandang kesusahan orang lain sebagai peringatan dan muhasabah diri. Sesusah kita, masih ada lagi yang lebih susah.

Pernah aku suarakan kepada encik suami, "Kita ni bila terasa susah, sebenarnya ada lagi yang lebih susah daripada kita. Kita ni, alhamdulillah, tempat tinggal selesa, boleh tidur lena, makan pakai cukup, tak pernah kurang.. bersyukur sangat.."

Yang paling aku bersyukur bila Allah kurniakan kesihatan yang baik buat kami anak-beranak. Allahu, itulah nikmat yang paling berharga sekali. 

Kawan, memang kita sekarang sedang diuji. Susah atau senang, itu semua ujian dari Allah. Hanya kita saja yang boleh menentukan macam mana kita nak menghadapi ujian tersebut. Sematkan dalam diri, Allah sentiasa ada untuk kita. Walau sesusah mana sekalipun, walau sesenang mana sekalipun, ingatlah, Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Apa yang DIA kurniakan, ada tujuannya. Bukan untuk kita mengeluh, bukan juga untuk kita bermegah.

Semoga, kita semua berjaya menghadapi ujian-ujian ini. Dan semoga, dengan ujian sebegini akan mendekatkan lagi diri kita dengan Yang Maha Esa. In shaa Allah.

Loves,
Dylla Dalila

Adrian Si Anak Sulung

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebelum ni aku pernah menulis sebuah entri tentang anak sulungku, Adrian. Tapi, tidaklah secara details. Aku nak mencoretkan kisah ini sebagai kenangan buat diriku. Dan semoga, bila anakku terbaca entri ini satu hari nanti, dia akan tahu perjuangan aku untuk membawanya ke dunia ini.

Tanggal 16 Jun, 2015.

6.00 pagi - Seperti biasa, pagi tu aku bangun dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Ketika menggosok gigi, aku terasa ada sesuatu yang hangat meleleh hingga ke buku lali. Pelik, tapi aku tidak menghiraukannya. Kemudian, selesai rutin di bilik mandi, sekali lagi aku terasa ada sesuatu yang tidak kena.

Makanya, aku memberitahu encik suami yang aku ingin berehat saja di rumah. Encik suami juga tidak banyak bertanya. Dia cuma berpesan, sekiranya ada apa-apa, segeralah untuk menghubunginya.

9.30 pagi - Aku sakan ber'wassap' dengan dua orang kakak di tempat kerja lamaku. Salah seorang dari mereka terus menggesa aku ke hospital setelah aku ceritakan kejadian pagi tu. Katanya, masaku untuk melahirkan anak sudah tiba.

Allah. Berderau rasa. Kebetulan pula encik suami ada seminar pada hari tersebut. Dan dia dengan mudah dapat meninggalkan seminar lalu pulang ke rumah.

Sementara menunggu, aku sempatlah menyiapkan keperluan untuk diriki dan bakal anakku. Dalam rasa berdebar-debar tu, terselit juga rasa tidak sabar nak berjumpa dengan penghuni rahimku ini.

10.30 pagi - Tiba di Hospital Azzahra Bangi. Selesai mendaftar, aku menunggu giliran dipanggil hampir setengah jam. Mujur tak ramai orang hari tu. Selesai saja memberitahu tujuan dan sebab kedatangan, terus aku dibawa ke suatu bilik lain. Untuk memeriksa bukaan.

"Dah buka 3cm ye Puan. Saya akan daftarkan Puan untuk masuk ke wad dulu ye. In shaa Allah, hari ni Puan boleh bersalin.."

Ya. Suara tu macam terngiang-ngiang je. Betul ke dah sampai masa..? Allah. Tiba-tiba rasa berdebar-debar semula. Aku pandang encik suami. Dia angguk, meyakinkan aku. Makanya, aku dan encik suami naik ke tingkat 2 untuk menunggu giliran masuk wad.

Sementara tu, sempat pula aku ber'wassap' dengan salah seorang kawan sepejabat, sekadar memberitahu keadaan diriku, disamping meminta jasa baiknya utuk mendoakan keselamatanku. Nervous betul rasanya masa tu!

11.20 pagi - Aku ditempatkan di wad kelas 2. Berjiran dengan seorang ibu yang telah selamat melahirkan anak. Tapi, tak sempat nak beramah mesra sebab aku di dalam fasa menenangkan diri dan bertawakkal mengenangkan nasib yang bakal menimpa diriku nanti.

12.00 tengahari - Hidangan makanan tengahari disediakan. Selera makanku seperti biasa. Habis licin pula tu. Encik suami pula sibuk berhubung dengan bosnya, sekadar untuk memberitahu bahawa dia berada di hospital menemaniku.

"Kalau sampai pukul 3 nanti Puan masih belum terasa sakit, Puan tekan loceng ni ye. Nanti saya datang semula.." kata Nurse ketika mengemas tray makananku. Aku angguk je.

2.00 petang - Selesai tunaikan solat Zuhur, aku segera mencapai henfon, membuka apps al-Quran dan mulai membacanya. Perasaan berdebar-debar hilang sekejap masa tu. Rasa macam biasa dan ketika tulah baru aku perasan yang aku sebenarnya tak rasa sakit langsung.

Mulalah rasa serba tak kena. Kalau tak rasa sakit, betul ke dah sampai masa nak bersalin? Aduh, naif betul pemikiran kan. Maklumlah, takde pengalaman. Anak sulung kan, memang macam-macam benda la yang terlintas dalam kepala.

3.00 petang - Belum sempat aku nak tekan loceng memanggil Nurse, dia dah sampai dulu. Efisyen betul. Lepas brief beberapa perkara, aku pun redha jelah bila nak ditolak masuk ke labour room. Encik suami pula masa tu sibuk ke kaunter pendaftaran untuk menukar wad. Katanya, segan nak teman aku tidur kalau aku berkongsi wad dengan orang lain. Hmm.. yelah tu..

3.30 petang - Doktor datang bersama bidan. Doktor yang amat disenangi. Dr.Mashitah namanya. Memang aku berharap Dr.Mashitah yang akan menyambut kelahiran anakku nanti. Proses seluk pun bermula. Bukaan baru terbuka sebanyak 4cm. Disebabkan masa tu aku masih tidak lagi berasa sakit, maka Doktor mencadangkan untuk induce.

Aduh, apa pula la induce ni? Aku memang tak sempat nak buat pembacaan. Sebabnya, kalau ikutkan due, aku masih ada 3 minggu lagi. Maknanya, anakku ni memang bakal menjadi bayi pra-matang. Mujurlah, masa minggu ke-34 sebelum ni, aku dah mengambil suntikan dexa.

4.30 petang - Sakit yang aku tunggu-tunggu tu akhirnya tiba. Allah, macam ni rupanya sakit contraction ye. Rasa nak berguling-guling. Tapi sebab katil dalam labour room tu tak berapa nak besar, makanya aku mampu pusing ke kiri dan ke kanan jelah. 

5.30 petang - Dr.Mashitah datang lagi untuk check bukaan. Masa ni memang rasa nak telan air liur pun payah. Tengah sakit macam tu, nak check bukaan lagi.. aduyai, seram betul rasa. Tapi bila doktor bagitau yang bukaan dah terbuka sebanyak 6cm dan dia dapat merasa kepala anakku, aku rasa lega sikit. Sikit je lagi aku kena bertahan sementara nak tunggu bukaan jadi 9cm atau 10cm.

"Lebat betul rambut baby.." kata Dr.Mashitah, cuba menghiburkan aku, mungkin.

Sebelum pergi, Dr.Mashitah sempat berpesan supaya aku terus berzikir untuk mengurangkan rasa sakit. Bila bukaan dah buka melebihi 5cm, aku tak digalakkan untuk mengambil ubat tahan sakit. Makanya berhuhu la aku. Encik suami yang duduk di sebelah pun tak henti-henti berzikir. Katanya, tak pernah nampak aku berkerut-kerut dahi sampai berpeluh-peluh menahan sakit.

Masa ni, 2 orang Nurse masuk untuk proses memasangkan beg dan tiub. Makin nervous rasanya. Aduh, dah sampai masa ke ni..?

6.30 petang - Bidan datang tanpa ada Dr.Mashitah disisnya. Dan proses untuk check bukaan diteruskan oleh bidan tersebut. Masa tu, sakit bertambah kuat. Aku macam tak rela diseluk lagi. Hahaha.. tapi apakan daya. Dah procedure-nya memang begitu kan.

"Alhamdulillah. Dah buka 7cm ni Puan. Sikit je lagi ni.." 

Aku angguk je. Tak larat nak menjawab sebab sakitnya dah semakin kerap. Aku rasa memang takde rasa lega dah. Sakit tu macam berterusan je. Sampai naik kebas tangan aku menggenggam tangan encik suami. Akhirnya, aku lepaskan jelah tangan dia. Genggam tangan sendiri mungkin lebih selesa.

7.30 malam - Dr.Mashitah datang lagi. Kali ni dia bersendirian. Terus memberitahuku untuk proses check bukaan. Aku angguk, rela dalam terpaksa T_T

"Eh, Dah buka 8cm. Memang tak lama dah ni.." ceria je bunyinya. Tapi aku pula yang berdebar-debar.

Walaupun labour room tu ber-aircond, tapi aku rasa panas. Badan melekit-lekit disebakan peluh melampau. Encik suami juga dah mula kelihatan tak begitu selesa. Aku cuba bertenang. Cuba meyakinkan diri sendiri bahawa semua ini akan berakhir tak lama lagi. Sikit je lagi, Dylla. Sikit je lagi.

8.30 malam - Dr.Mashitah datang bersama bidan. Omaigodddd, nak check lagi ke ni..? Dah larat rasanya kena seluk ni. Tapi, apakan daya, terpaksa jualah aku relakan. Rasa sakit tu pun memang tak pergi-pergi dah.

"Botak licin baby ni.." kata Dr.Mashitah selepas selsai proses check bukaan. 

Aku pelik. Tadi dia cakap rambut anak aku lebat. Sekarang botak pula. Mana satu yang betul ni..? Perasaan masa tu memang tak tentu arah dah. Setelah selesai Dr.Mashitah berbual dengan Bidan, dia memberitahuku bahawa dia memberiku masa sehinnga jam 10.30 malam. Jika bukaan masih lagi sama 8cm, maka aku tiada pilihan lain selain dari terpaksa melakukan pembedahan c-sect.

Allah. Seram sejuk terus. Pembedahan? Betul ke apa yang aku dengar ni. Tapi disebabkan rasa sakit tu semakin kuat, aku hanya mengiakan saja. Encik suami pun hanya menggangguk kosong. Dia pun mungkin tak tahu nak cakap apa.

10.30 malam - Sekali lagi Dr.Mashitah datang. ali ni dia memeriksa dahulu bacaan jantung anakku. Kemudian, dia meminta izin untuk membuat pemeriksaan bukaan. Buat seketika, aku terpandang raut wajahnya yang agak berkerut.

"Kenapa Doktor?" tanyaku.

"Puan, saya rasa baby ni bukan botak. Tapi yang saya pegang ni mungkin punggung atau lutut dia. Baby puan melintang ni. Bacaan jantung dia pun makin drop. Kalau puan setuju, kami siapkan bilik bedah. Kita buat c-sect ye, puan..?"

Aku pandang encik suami. Jelas, dia pun risau. Tapi, andai itu saja pilihan yang aku ada, aku bersetuju demi nak menyelamatkan nyawa anakku ini.

10.55 malam - Aku ditolak masuk ke bilik bedah tanpa ditemani encik suami. Aku masa tu tak boleh nak fikir apa dah. Yang penting anak aku selamat. Selesai je semua proses melahirkan, nurse membawa seorang bayi lelaki yang seiras raut wajah ayahnya, di hadapanku.

"Assalammualaikum baby.." itu saja yang mampu aku ucapkan sebelum nurse membawanya keluar untuk diazankan oleh encik suami.

Alhamdulillah. Proses pembedahan selesai jam 11.18 malam. Hampir jam 11.40 malam, aku sudah pun berada di wad kelas pertama. Encik suami berjaya juga dapatkan bilik ni untuk aku. Dan buat pertama kalinya, aku menikmati tidur yang nyenyak, mungin kesan bius masih ada. Aku serahkan semua urusan lain kepada encik suami. Rasa lelah masih tersisa.

Buat anakku, Adrian, Mommy bersyukur sangat dengan kehadiran Adrian dalam hidup Mommy dan ayah. Memang Adrian yang Mommy tunggu selama ini. Terima kasih sebab sudi jadi penghuni di rahim Mommy selama 36 minggu 2 hari, tanpa banyak kerenah, tanpa banyak masalah.

Mommy dan ayah sayang Adrian, dunia akhirat. Semoga Adrian menjadi anak soleh yang berguna kepada agama, bangsa dan negara, terutamanya kepada mommy dan ayah.

Loves,
Dylla Dalila







Tuesday 15 December 2020

'Dylla On The Blog' Kembali

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada diriku sendiri, selaku tuan tanah, dan juga buat semua Follower yang masih sudi meluangkan masa untuk membaca di blog ini.

Lama betul aku menyepi dari dunia blog. Setiap hari terasa nak buat comeback. Tapi, alasan utama yang menghalang adalah masa. Sejak berkahwin dan memiliki zuriat sendiri, masa yang ada terasa begitu terhad. Aku masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan rutin harian hidupku.

Lama kan nak ambil masa untuk suaikan diri ni..?

Sebenarnya, proses penyesuaian diri ni bukan boleh dibuat dalam seminggu dua. Bagi aku, ia memerlukan tempoh yang panjang. Masakan tidak, setiap kali rasa dah boleh suaikan diri, setiap kali itulah akan ada rutin baru yang bertandang.

Makanya, terpaksalah aku menyusun semula rutin tersebut. Bagi aku, cabaran untuk menyesuaikan diri inilah yang mematangkan aku. Aku bahagia dengan kehidupan sekarang.

Pahit, manis, suka dan duka sepanjang tempoh bergelar seorang isteri dan ibu, menjadikan aku wanita terbahagia. Alhamdulillah, semakin panjang tempoh perkahwinanku dan encik suami, semakin aku mengenali dirinya.

Benarlah, Allah SWT. akan memberikan kita jodoh yang amat melengkapi. Aku, di saat badai datang melanda, encik suamiku-lah penyelamatnya. Peribadinya yang tenang, berhemah dan lemah lembut, mendidik aku untuk menjadi seseorang yang lebih sabar.

Jika menilai sendiri perubahan yang ada pada diriku, benar, memang banyak sekali perubahannya. Terima kasih Allah. Terima kasih encik suami. Aku tidak berbangga dengan apa yang aku ada, tapi aku bersyukur dengan apa yang dikurniakan untukku. Amat bersyukur.

Banyak lagi perkongsian tentang keluarga kecilku yang ingin aku coretkan. Semoga perkongsian itu nanti akan memberi manfaat buat kita semua. Mudah-mudahan.

Six years and forever, in shaa Allah.


Loves,
Dylla Abas