Assalammualaikum wbt. Salam khas buat diriku sendiri. Pejam celik, pejam celik, tahun 2020 bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Lagi 2 hari kita akan melangkah ke tahun 2021.
Bagi yang berazam tu, so, macam mana? Tercapai tak semua azamnya? Alhamdulillah bagi mereka yang berjaya. Dan, jangan putus asa bagi mereka yang tidak berjaya pada kali ini. Masih ada masa, ruang dan peluang untuk kita raih kejayaan itu.
Bagi diri aku sendiri, tahun 2020 ni merupakan tahun yang agak tough juga. Dengan seluruh dunia dilanda pandemik covid-19, kita masing-masing berperang dengan ekonomi sendiri, kan? Bagi yang bernasib baik masih boleh mencari rezeki, alhamdulillah. Bagi yang kurang bernasib baik, aku doakan moga pintu rezeki semua akan dibuka seluas-luasnya lepas ni. In shaa Allah.
Bagi kami sekeluarga, rezeki yang terduga bila encik suami dipanggil bekerja pada pertengahan bulan Jun yang lepas. Sujud syukur aku. Besarnya rahmat Allah. Baiknya Allah. Sayangnya Allah pada kami.
Walaupun kami terpaksa menjadi weekend husband and wife, tapi demi mencari rezeki yang halal, maka hal seperti itu kami letak ketepi. Yang penting, keselesaan anak-anak. Tambahan pula, si Sulung ni dah mula bersekolah. Maka bertambah-lah perbelanjaan kami.
Buat diri aku sendiri, kini aku sedang berjinak-jinak dalam bidang hartanah. Ya, ini adalah salah satu bidang yang tidak ingin aku ceburi, satu masa dahulu. Kini, aku semakin selesa, suka dan sentiasa mahu belajar ilmu baru. Dan, aku juga bergelar bagmaker bila mana aku semakin aktif mengambil tempahan menjahit bag. Nanti-lah aku kongsikan di entri yang lain ye.
Sekarang ni, sudah hampir 6 bulan aku dan encik suami berstatus PJJ, tapi sedikitpun tidak melunturkan semangat dia untuk terus berjuang mencari rezeki yang halal. Kami sentiasa memandang kesusahan orang lain sebagai peringatan dan muhasabah diri. Sesusah kita, masih ada lagi yang lebih susah.
Pernah aku suarakan kepada encik suami, "Kita ni bila terasa susah, sebenarnya ada lagi yang lebih susah daripada kita. Kita ni, alhamdulillah, tempat tinggal selesa, boleh tidur lena, makan pakai cukup, tak pernah kurang.. bersyukur sangat.."
Yang paling aku bersyukur bila Allah kurniakan kesihatan yang baik buat kami anak-beranak. Allahu, itulah nikmat yang paling berharga sekali.
Kawan, memang kita sekarang sedang diuji. Susah atau senang, itu semua ujian dari Allah. Hanya kita saja yang boleh menentukan macam mana kita nak menghadapi ujian tersebut. Sematkan dalam diri, Allah sentiasa ada untuk kita. Walau sesusah mana sekalipun, walau sesenang mana sekalipun, ingatlah, Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Apa yang DIA kurniakan, ada tujuannya. Bukan untuk kita mengeluh, bukan juga untuk kita bermegah.
Semoga, kita semua berjaya menghadapi ujian-ujian ini. Dan semoga, dengan ujian sebegini akan mendekatkan lagi diri kita dengan Yang Maha Esa. In shaa Allah.
Loves,
Dylla Dalila
No comments:
Post a Comment