Pages

Tuesday, 29 December 2020

Adrian Si Anak Sulung

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebelum ni aku pernah menulis sebuah entri tentang anak sulungku, Adrian. Tapi, tidaklah secara details. Aku nak mencoretkan kisah ini sebagai kenangan buat diriku. Dan semoga, bila anakku terbaca entri ini satu hari nanti, dia akan tahu perjuangan aku untuk membawanya ke dunia ini.

Tanggal 16 Jun, 2015.

6.00 pagi - Seperti biasa, pagi tu aku bangun dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Ketika menggosok gigi, aku terasa ada sesuatu yang hangat meleleh hingga ke buku lali. Pelik, tapi aku tidak menghiraukannya. Kemudian, selesai rutin di bilik mandi, sekali lagi aku terasa ada sesuatu yang tidak kena.

Makanya, aku memberitahu encik suami yang aku ingin berehat saja di rumah. Encik suami juga tidak banyak bertanya. Dia cuma berpesan, sekiranya ada apa-apa, segeralah untuk menghubunginya.

9.30 pagi - Aku sakan ber'wassap' dengan dua orang kakak di tempat kerja lamaku. Salah seorang dari mereka terus menggesa aku ke hospital setelah aku ceritakan kejadian pagi tu. Katanya, masaku untuk melahirkan anak sudah tiba.

Allah. Berderau rasa. Kebetulan pula encik suami ada seminar pada hari tersebut. Dan dia dengan mudah dapat meninggalkan seminar lalu pulang ke rumah.

Sementara menunggu, aku sempatlah menyiapkan keperluan untuk diriki dan bakal anakku. Dalam rasa berdebar-debar tu, terselit juga rasa tidak sabar nak berjumpa dengan penghuni rahimku ini.

10.30 pagi - Tiba di Hospital Azzahra Bangi. Selesai mendaftar, aku menunggu giliran dipanggil hampir setengah jam. Mujur tak ramai orang hari tu. Selesai saja memberitahu tujuan dan sebab kedatangan, terus aku dibawa ke suatu bilik lain. Untuk memeriksa bukaan.

"Dah buka 3cm ye Puan. Saya akan daftarkan Puan untuk masuk ke wad dulu ye. In shaa Allah, hari ni Puan boleh bersalin.."

Ya. Suara tu macam terngiang-ngiang je. Betul ke dah sampai masa..? Allah. Tiba-tiba rasa berdebar-debar semula. Aku pandang encik suami. Dia angguk, meyakinkan aku. Makanya, aku dan encik suami naik ke tingkat 2 untuk menunggu giliran masuk wad.

Sementara tu, sempat pula aku ber'wassap' dengan salah seorang kawan sepejabat, sekadar memberitahu keadaan diriku, disamping meminta jasa baiknya utuk mendoakan keselamatanku. Nervous betul rasanya masa tu!

11.20 pagi - Aku ditempatkan di wad kelas 2. Berjiran dengan seorang ibu yang telah selamat melahirkan anak. Tapi, tak sempat nak beramah mesra sebab aku di dalam fasa menenangkan diri dan bertawakkal mengenangkan nasib yang bakal menimpa diriku nanti.

12.00 tengahari - Hidangan makanan tengahari disediakan. Selera makanku seperti biasa. Habis licin pula tu. Encik suami pula sibuk berhubung dengan bosnya, sekadar untuk memberitahu bahawa dia berada di hospital menemaniku.

"Kalau sampai pukul 3 nanti Puan masih belum terasa sakit, Puan tekan loceng ni ye. Nanti saya datang semula.." kata Nurse ketika mengemas tray makananku. Aku angguk je.

2.00 petang - Selesai tunaikan solat Zuhur, aku segera mencapai henfon, membuka apps al-Quran dan mulai membacanya. Perasaan berdebar-debar hilang sekejap masa tu. Rasa macam biasa dan ketika tulah baru aku perasan yang aku sebenarnya tak rasa sakit langsung.

Mulalah rasa serba tak kena. Kalau tak rasa sakit, betul ke dah sampai masa nak bersalin? Aduh, naif betul pemikiran kan. Maklumlah, takde pengalaman. Anak sulung kan, memang macam-macam benda la yang terlintas dalam kepala.

3.00 petang - Belum sempat aku nak tekan loceng memanggil Nurse, dia dah sampai dulu. Efisyen betul. Lepas brief beberapa perkara, aku pun redha jelah bila nak ditolak masuk ke labour room. Encik suami pula masa tu sibuk ke kaunter pendaftaran untuk menukar wad. Katanya, segan nak teman aku tidur kalau aku berkongsi wad dengan orang lain. Hmm.. yelah tu..

3.30 petang - Doktor datang bersama bidan. Doktor yang amat disenangi. Dr.Mashitah namanya. Memang aku berharap Dr.Mashitah yang akan menyambut kelahiran anakku nanti. Proses seluk pun bermula. Bukaan baru terbuka sebanyak 4cm. Disebabkan masa tu aku masih tidak lagi berasa sakit, maka Doktor mencadangkan untuk induce.

Aduh, apa pula la induce ni? Aku memang tak sempat nak buat pembacaan. Sebabnya, kalau ikutkan due, aku masih ada 3 minggu lagi. Maknanya, anakku ni memang bakal menjadi bayi pra-matang. Mujurlah, masa minggu ke-34 sebelum ni, aku dah mengambil suntikan dexa.

4.30 petang - Sakit yang aku tunggu-tunggu tu akhirnya tiba. Allah, macam ni rupanya sakit contraction ye. Rasa nak berguling-guling. Tapi sebab katil dalam labour room tu tak berapa nak besar, makanya aku mampu pusing ke kiri dan ke kanan jelah. 

5.30 petang - Dr.Mashitah datang lagi untuk check bukaan. Masa ni memang rasa nak telan air liur pun payah. Tengah sakit macam tu, nak check bukaan lagi.. aduyai, seram betul rasa. Tapi bila doktor bagitau yang bukaan dah terbuka sebanyak 6cm dan dia dapat merasa kepala anakku, aku rasa lega sikit. Sikit je lagi aku kena bertahan sementara nak tunggu bukaan jadi 9cm atau 10cm.

"Lebat betul rambut baby.." kata Dr.Mashitah, cuba menghiburkan aku, mungkin.

Sebelum pergi, Dr.Mashitah sempat berpesan supaya aku terus berzikir untuk mengurangkan rasa sakit. Bila bukaan dah buka melebihi 5cm, aku tak digalakkan untuk mengambil ubat tahan sakit. Makanya berhuhu la aku. Encik suami yang duduk di sebelah pun tak henti-henti berzikir. Katanya, tak pernah nampak aku berkerut-kerut dahi sampai berpeluh-peluh menahan sakit.

Masa ni, 2 orang Nurse masuk untuk proses memasangkan beg dan tiub. Makin nervous rasanya. Aduh, dah sampai masa ke ni..?

6.30 petang - Bidan datang tanpa ada Dr.Mashitah disisnya. Dan proses untuk check bukaan diteruskan oleh bidan tersebut. Masa tu, sakit bertambah kuat. Aku macam tak rela diseluk lagi. Hahaha.. tapi apakan daya. Dah procedure-nya memang begitu kan.

"Alhamdulillah. Dah buka 7cm ni Puan. Sikit je lagi ni.." 

Aku angguk je. Tak larat nak menjawab sebab sakitnya dah semakin kerap. Aku rasa memang takde rasa lega dah. Sakit tu macam berterusan je. Sampai naik kebas tangan aku menggenggam tangan encik suami. Akhirnya, aku lepaskan jelah tangan dia. Genggam tangan sendiri mungkin lebih selesa.

7.30 malam - Dr.Mashitah datang lagi. Kali ni dia bersendirian. Terus memberitahuku untuk proses check bukaan. Aku angguk, rela dalam terpaksa T_T

"Eh, Dah buka 8cm. Memang tak lama dah ni.." ceria je bunyinya. Tapi aku pula yang berdebar-debar.

Walaupun labour room tu ber-aircond, tapi aku rasa panas. Badan melekit-lekit disebakan peluh melampau. Encik suami juga dah mula kelihatan tak begitu selesa. Aku cuba bertenang. Cuba meyakinkan diri sendiri bahawa semua ini akan berakhir tak lama lagi. Sikit je lagi, Dylla. Sikit je lagi.

8.30 malam - Dr.Mashitah datang bersama bidan. Omaigodddd, nak check lagi ke ni..? Dah larat rasanya kena seluk ni. Tapi, apakan daya, terpaksa jualah aku relakan. Rasa sakit tu pun memang tak pergi-pergi dah.

"Botak licin baby ni.." kata Dr.Mashitah selepas selsai proses check bukaan. 

Aku pelik. Tadi dia cakap rambut anak aku lebat. Sekarang botak pula. Mana satu yang betul ni..? Perasaan masa tu memang tak tentu arah dah. Setelah selesai Dr.Mashitah berbual dengan Bidan, dia memberitahuku bahawa dia memberiku masa sehinnga jam 10.30 malam. Jika bukaan masih lagi sama 8cm, maka aku tiada pilihan lain selain dari terpaksa melakukan pembedahan c-sect.

Allah. Seram sejuk terus. Pembedahan? Betul ke apa yang aku dengar ni. Tapi disebabkan rasa sakit tu semakin kuat, aku hanya mengiakan saja. Encik suami pun hanya menggangguk kosong. Dia pun mungkin tak tahu nak cakap apa.

10.30 malam - Sekali lagi Dr.Mashitah datang. ali ni dia memeriksa dahulu bacaan jantung anakku. Kemudian, dia meminta izin untuk membuat pemeriksaan bukaan. Buat seketika, aku terpandang raut wajahnya yang agak berkerut.

"Kenapa Doktor?" tanyaku.

"Puan, saya rasa baby ni bukan botak. Tapi yang saya pegang ni mungkin punggung atau lutut dia. Baby puan melintang ni. Bacaan jantung dia pun makin drop. Kalau puan setuju, kami siapkan bilik bedah. Kita buat c-sect ye, puan..?"

Aku pandang encik suami. Jelas, dia pun risau. Tapi, andai itu saja pilihan yang aku ada, aku bersetuju demi nak menyelamatkan nyawa anakku ini.

10.55 malam - Aku ditolak masuk ke bilik bedah tanpa ditemani encik suami. Aku masa tu tak boleh nak fikir apa dah. Yang penting anak aku selamat. Selesai je semua proses melahirkan, nurse membawa seorang bayi lelaki yang seiras raut wajah ayahnya, di hadapanku.

"Assalammualaikum baby.." itu saja yang mampu aku ucapkan sebelum nurse membawanya keluar untuk diazankan oleh encik suami.

Alhamdulillah. Proses pembedahan selesai jam 11.18 malam. Hampir jam 11.40 malam, aku sudah pun berada di wad kelas pertama. Encik suami berjaya juga dapatkan bilik ni untuk aku. Dan buat pertama kalinya, aku menikmati tidur yang nyenyak, mungin kesan bius masih ada. Aku serahkan semua urusan lain kepada encik suami. Rasa lelah masih tersisa.

Buat anakku, Adrian, Mommy bersyukur sangat dengan kehadiran Adrian dalam hidup Mommy dan ayah. Memang Adrian yang Mommy tunggu selama ini. Terima kasih sebab sudi jadi penghuni di rahim Mommy selama 36 minggu 2 hari, tanpa banyak kerenah, tanpa banyak masalah.

Mommy dan ayah sayang Adrian, dunia akhirat. Semoga Adrian menjadi anak soleh yang berguna kepada agama, bangsa dan negara, terutamanya kepada mommy dan ayah.

Loves,
Dylla Dalila







No comments: