Pages

Wednesday 30 May 2012

Orang Tak Akan Faham

Assalammualaikum W.B.T

Hari ni aku nak cerita tentang topik pehamanan orang lain terhadap tindakan kita. Sebagai manusia biasa, kita memang tak akan lari dari bersikap salah faham. Salah faham terhadap perlakuan manusia lain yg berlaku di depan mata. Mata yg memandang belum tentu faham dengan apa yg berlaku.

Tapi, kebiasaannya kita pasti akan terus membuat kesimpulan yg menunjukkan kononnya kita faham mengapa perkara tu berlaku. Contohnya :

"Awak tak perlu jelaskan apa-apa lagi. Saya nampak sendiri awak berpegangan tangan dengan perempuan tu. Mata saya jadi saksi!"

Jelas di sini, kuasa mata telah mengawal emosi kita. Apa yg aku nampak, selalunya perempuan la yg berada di situasi begini. Perempuan dan emosi memang tak boleh dipisahkan. Tapi, bukan bermakna takde lelaki dalam kategori ini. Kebiasannya. lelaki akan lebih tenang. Mereka selalunya boleh menunggu penjelasan yg bakal memuaskan hati mereka.

Begitulah manusia. Suka membuat keputusan hanya dengan melihat saja. Memang benar, belum tentu apa yg kita nampak, itulah yg berlaku. Mungkin ada cerita di sebaliknya yg kita tak pernah tahu.

Jadi, kita sebagai manusia biasa yg kadangkala boleh termasuk dalam kategori begini, sentiasa la waspada. Setiap tindak-tanduk kita mesti ada yg memerhati. Kita tidak boleh bersikap ambil mudah dengan kata-kata orang tentang setiap tindakan kita. Bak kata pepatah, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang. Begitulah perkaitannya. Jika kita melakukan perkara yg mengundang tanda tanya kepada orang lain, pasti orang akan mengata. Tidak kiralah mengata akan keburukan atau kebaikan.

Memang manusia tak akan pernah faham. Jadi, cuba fahamkan mereka . Buat sesuatu dengan jelas dan mudah utnuk difahami. Terlalu banyak cerita negatif walaupun kita tidak melakukannya juga boleh mengakibatkan tekanan perasaan pada diri kita. Cuba jauhi perkara sebegini. Kalau bukan kita yg jaga hati kita sendiri, siapa lagi yg kita nak harapkan...betul tak?

p/s : kalau boleh tak nak buata sesuatu yg boleh buat orang lain salah faham...sebab orang memang tak akan faham

Transformasi Diriku - Dugaan Bila Berniat Ingin Ke Arah Kebaikan

Assalammualaikum W.B.T

Sudah 7 bulan proses hijrah berlaku dalam hidup aku. Sepanjang tempoh ini, banyak sungguh dugaan yg terpaksa ditempuhi. Tapi, sukacita aku maklumkan, dugaan itu tidaklah seberat mana pun. Sekadar kata-kata sinis yg aku umpamakan sebagai langau je (",)

Aku pernah terdengar, Allah S.W.T akan menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara. Semakin tinggi iman seseorang itu, semakin beratlah dugaannya. Jadi, kepada mereka **termasuk diri aku sendiri** yg ingin bertaubat dan berubah ke arah kebaikan, pasti tidak akan terlepas dari dugaan-Nya.

Kadang-kadang, aku melatah juga bila diduga. Walau sekecil mana pun dugaan tu, bila aku terpaksa hadapinya dalam keadaan yg kurang bersedia, memang tak fikir sabar dah. Teruk betul. Lemahnya iman dalam diri. Hmm...macam mana nak jadi lebih baik ni...?

Ya Allah, kuatkanlah imanku untuk terus menghadapi dugaan-Mu dan kekalkanlah aku di landasan yg benar. Janganlah Kau berpaling dariku setelah Kau memberi hidayah kepadaku. Amin.




Kita Semua Pasti Mati

Assalammualaikum W.B.T

Apasal la pagi-pagi dah buat entri pasal mati ni, Dylla..?? Hehehe...takde la...ni semua bos aku punya pasal. Masuk je ofis pagi tadi, aku nampak dia dah sibuk bergaduh dengan mesin fotokopi tu. Lepas tu sempatlah dengar dia membebel seorang diri.

"Saya ni lagi 20 tahun matilah kot. Korang yg tinggal ni kalau tak buat sesuatu, memang rosak la bumi ni nanti.."

Pulak..?? Kenapalah bos ni cakap pasal mati...? Al-kisahnya, dia merungut banyak sangat recycle paper kat tempat fotokopi tu. Bagusla kan. Jimat. Guna semula tu. Tapi, yg tak bagusnya menurut kata bos, benda tu seharusnya dikitar semula mengikut proses yg sepatutnya la. Alahai, apa nak susah bos...nanti ada kertas-kertas yg kita dah tak nak pakai, kita jual la kat "old news paper" tu (",)

Sekali aku gatal-gatal la menyampuk :

"Semua orang akan mati bos. Cuma tak tahu la bila. Kalau bos yg tinggal, bos la buat sesuatu nanti..."

Hahahaha...pagi-pagi nak cari pasal dengan bos kan. Bos sengih jelah. Angguk-angguk je. Mungkin setuju. Mungkin fikirkan sesuatu untuk balas balik. Wallahu'alam.

p/s : entri mengarut tak boleh tulis panjang-panjang (",)






Tuesday 29 May 2012

Demam Rindu

Tengahari tadi, dapat panggilan telefon si dia. Itu pun setelah kami senyap hampir seminggu. Oh, itu perkara biasa. Sejak berjauhan ni, kami memang jarang sangat menghubungi antara satu sama lain. Kalau teringat atau ada hal apa-apa, baru aku akan call si dia, dan begitulah sebaliknya.

Tapi, perbualan tengahari tadi buat aku rasa macam nak lempang si dia laju-laju :

Dia : Kau sihat ke..? Sorry la lama tak call...busy betul, banyak masalah kat site

Aku : Oh, takpe...kan biasa macam ni...aku okay je..cuma hari ni tak berapa sihat la

Dia : Laa...kenapa..? Demam ke...?

Aku : Hmm...demam...rindu kat kau...

Dia : Errr...ngiowww (terus buat bunyi kucing gatal...)

Aku : Pesal tiba-tiba bunyi kucing lak ni...?

Dia : Tak la...kau cakap rindu kat aku, macam pelik je. Tiba-tiba rasa nak buat bunyi macam tu...hahaha

Aku : ????????

Adoiii...masalah betul orang tua ni. Aku rindu kat dia. Tapi, dia punya respon macam tu pula. Memang saja cari pasal, kan...?

p/s : really miss him :(



Himpunan Jutaan Belia vs. Jom Heboh

Assalammualaikum W.B.T

Tak sempat nak update entri semalam. Banyak pula kerja kat ofis. Kepala dah serabut...huhu (",)
Ahad lepas, aku sempat ke Putrajaya untuk acara Himpunan Jutaan Belia 2012 tu. Kebetulan, karnival Jom Heboh pun turut sama diadakan. Sambil menyelam minum air la kata orang kan. Cuci-cuci mata tengok apa yg ada kat Himpunan Jutaan Belia 2012 tu. Agak-agak bosan, hala la kejap ke tapak Jom Heboh tu. Sebelah-menyebelah je pun. Tapi, disebabkan keadaan cuaca yg agak panas, ditambah pula dengan manusia yg sangat ramai memenuhi kawasan tu, aku jadi tak boleh fokus.

Dapat capture gambar belon ni pun jadi la..nak capai memang tak tercapai la (",)
Banyak sebenarnya acara yg ada. Tapi, satu pun aku tak dapat nak cerna. Himpunan Jutaan Belia ke ni..?? Yg aku nampak setiap canopy yg ada kat situ ada pentas dengan kategori muzik masing-masing. Sempat la menjengah ke persembahan Fabulous Cat. Masa tu pun aku tengok jam dah pukul 7.00 lebih. So, angkat kaki la. Idak ler rasa nak berhibur di waktu Maghrib, kan...?


Fabulous Cat
Tapi, on the way balik tu aku terfikir sesuatu la. Apa motifnya buat Himpunan Jutaan Belia ni, ye...? Aku tengok tak jauh beza pun dengan karnival Jom Heboh tu. Ada pusat jualan. Ada pusat informasi. Tak tahu la kalau masa aku sampai tu aktiviti yg melibatkan belia memang dah tamat. Hmm...entah la. Tapi, apa yg aku dapat, apa yg aku nampak, memang ramai la manusia yg berkunjung ke situ. Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa, semua ada. Berkumpul, melambangkan negara yg penuh harmoni **eh, Malaysia tak cukup harmoni ke...?**

Sibuk dok belek-belek jubah maxi ni..cantik la...

Dalam rasa tak faham dan tak puas hati tu, hampir 2 jam juga la aku berada di sana...hahaha. Seronok sebenarnya memerhati gelagat manusia ni. Macam-macam ragam. Aku dah jadi macam apa je bila mata ni sibuk nak memandang ke merata hala. Bagi aku, secara peribadinya, aktiviti ni tak mendatangkan manfaat pada diri aku. Mungkin ada manfaat pada orang lain. Mungkin ada yg aku dah terlepas pandang. Mesti ada agenda yg menarik. Kalau tak, masakan kerajaan boleh buat acara ni berkali-kali, kan? Well, apapun, aku enjoy je melihat gelagat manusia lain (",)


p/s : dengar cerita tahun depan nak buat lagi acara ni...





Sunday 27 May 2012

Malam Minggu Di Rumah

Assalammualaikum W.B.T

Tenang rasanya dapat berhujung minggu di rumah. Boleh bersantai-santai dengan jayanya..hahaha. Rasa macam dah lama weekend aku kat tempat lain. Asyik tak lekat kat rumah je. So, hari ni bila dapat duduk rumah, layan juga kan. Mula la dalam kepala ni plan macam-macam. Nak kemas rumah la. Nak basuh baju la. Nak itu la. Nak ini la. Finally, blog juga yg aku hadap (",)

Malam tadi, lepas balik kerja, lepas aktiviti makan-makan dengan beberapa orang teman sekerja, aku terus mengurung diri dalam bilik. Tak keluar-keluar dah. Pandang kiri, pandang kanan...takde apa yg menarik pun. Tarik selimut, terus tidur. Heaven betul!!

Kononnya nak bangun balik dalam pukul 10.30 ke, nak layan drama-drama swasta kat tv yg dah lama tak layan tu. Tapi, sedar-sedar je dah azan Subuh. Oh, betapa nyenyak tidurku tanpa ada gangguan. Rasa memang takde yg mengganggu pun.

Itulah ceritanya malam minggu aku. Tak best langsung. Semua benda tak jalan. So, sekarang nak kena stop dulu. Jap lagi baru aku BW. Aku nak kena kemas bilik ni. Dah macam tongkang pecah je gayanya **mak aku suka guna istilah tu bila tengok bilik aku bersepah** Ada masa aku update lagi la.


p/s : rasa-rasa sempat tak nak wish "good morning" kat semua..?? hehehe (",)

Saturday 26 May 2012

Kadangkala Aku Suka Masalah Datang Menjenguk

Assalammualaikum W.B.T

Terasa nak update blog lagi. Kalau orang baca tajuk entri ni, mesti fikir aku dah tak berapa nak betul, kan? Yelah, mana ada manusia yg suka ditimpa masalah. Kalau boleh dia nak hidup yg sempurna, berjalan lancar je. Tapi yelah, mana ada manusia yg TAK ditimpa dengan masalah, kan?

Bila aku duduk seorang diri, fikir balik tentang kehidupan masa lalu, aku bersyukur sangat dengan masalah yg pelbagai bentuk ni datang menjenguk hidup aku. Sungguh. Masalah ni sebenarnya merupakan teman terbaik yg aku ada. Perghhh...statement!! Dialah teman yg mengajar aku erti hidup. Dialah teman yg mematangkan pemikiran aku.


Google

Kalau la hidup aku ni biasa je, tak pernah ada masalah, pasti aku tak akan belajar sesuatu tentang kehidupan, kan? Belajar dengan masalah orang lain...? Doesn't matter to whom it (the problem) belongs, the point is - we live and learn from problem (experience). Masalah ni akan memberi kita 1001 pengajaran hidup.

Jadi, masalah ni tak la teruk sangat sebenarnya, kan? Kita memang perlukan dia. Cuma, terpulang kepada diri kita sendiri, macam mana kita nak selesaikannya. Hidup ni memang penuh dengan percaturan. Ada masa, kita boleh selesaikan masalah dengan baik. Ada masa, masalah tu tak boleh nak diselesaikan. Apapun, kembali la kepada DIA. Jangan kita bertindak bodoh kalau ada masalah yg tak mampu kita selesaikan. Tanyalah DIA. Hanya DIA yg punya jawapan bagi setiap masalah yg kita hadapi. Wallahu'alam.


p/s : aku tengah berusaha nak selesaikan masalah hati ni...hoho (",)





Skill Main Bowling Dah Hilang

Assalammualaikum W.B.T

Hari ni aku kerja. Haa..rajin tak..?? Rajin!! **jawab aku sendiri...hahahaha** Banyak kerja sebenarnya. Semalam takde hati nak stayback. Memandangkan aku dah berjanji nak temankan housemate membeli handphone baru, jadi aku takde la nak stayback. Al-kisahnya, tak beli pun handphone nya. Housemate nak kaler putih. Yg tinggal cuma kaler hitam. So, will be waiting for re-stock la jawabnya.

Malam tadi, lebih kurang pukul 11.00 malam, kami keluar pergi bermain bowling. Lama kot tak main bowling. Last few weeks pun ada pergi main juga la. Tapi, itu pun selepas hampir setahun tak main. Gile lama!! Kasut bowling aku pun macam dah tunggu masa je nak tercabut tapaknya..hahaha

Semalam, kami bermain 2 frame. Untuk frame pertama, memang aku lead. Tapi, score sikit gile! Serius tak puas hati tengok score macam tu. Adoi..kemana la hilangnya skill aku ni..??



Masuk 2nd frame, mood dah merudum. Dan tiba-tiba nak dijadikan cerita, perut rasa pedih. Mungkin sebab lapar. Tapi, aku main juga la sampai habis game. Tetap bersorak memberi semangat pada kawan-kawan yg lain. Tetap buat kecoh seperti aku seadanya...hahaha




Apalah Dylla, ni kalau ayah tengok score macam ni, confirm kena kutuk ni. Penat je ayah bawa dan ajar aku main bowling dari zaman sekolah dulu. Tapi, inilah hasilnya...huhu (",)

p/s : nak kena main setiap minggu macam dulu balik kot...baru skill tak hilang agaknya



Friday 25 May 2012

Pengisian Jumaat (12)

Bismillahirrahmanirrahim

Baginda Rasulullah S.A.W bersabda :

"Apabila engkau melihat seorang lelaki biasa berulang-alik ke masjid, maka saksikanlah olehmu bahawa orang itu telah mencapai iman."

- Hadith Riwayat At-Tirmizi -







Kerjasama Itu Penting

Assalammualaikum W.B.T

Alhamdulillah. Hari ni aku masih punya kesempatan untuk terus meng'update' blog buruk aku ni. Tanggal 4 Rejab. Namun, masih belum sehari pun aku berkesempatan untuk menunaikan ibadah puasa **puasa sunat la** InsyaAllah, peluang nak tambahkan pahala mana boleh disia-siakan. Mesti tunaikan walaupun sehari (",)

Tadi, kami berpeluang untuk meneruskan aktiviti tazkirah mingguan di sini. Minggu ni, tazkirah berkisar tentang Fadilat Bulan Rejab. InsyaAllah, aku akan buat 1 entri khas untuk berkongsi tentang ilmu yg aku dapat tadi.

Sebaik saja selesai tazkirah, kami sempat berbincang untuk mengadakan satu majlis perpisahan khas buat Registrar kami, Tuan Haji Mohd Suib Maulud. Dia dijangka meninggalkan UniRazak pada 8 Julai nanti. Sedih rasanya bila orang kuat kami akan pergi. Selama ini, Tuan Haji la yg banyak membantu kami. Lepas ni, siapa nak pertahankan kami lagi kalau ada masalah dengan department lain...? Sob...sob...

Dah...dah...tak payah nak emosi lebih-lebih, Dylla. People comes, people go. Itulah lumrah alam. Kita tak boleh nak tahan sesuatu yg telah ditentukan. Apa yg berlaku pasti ada hikmahnya. Dan yg pasti, perbincangan tentang majlis tadi diadakan dalam suasana yg agak santai. Tiada sempadan yg memisahkan antara pekerja dan ketua di jabatan masing-masing. Setiap orang bersuara, memberi cadangan, dan aku nampak kerjasama antara kami semua begitu teguh sekali. Alhamdulillah.


Google

Itulah yg kita patut praktikkan, betul tak? Di dalam organisasi mana sekalipun, kerjasama amat penting untuk dipratikkan. Tanpa kerjasama, goyah la organisasi tersebut. Sebagai pekerja, kita tidak harus sepenuhnya mengikut keputusan pihak majikan. Kita berhak bersuara atau memberi cadangan sekiranya kita ada pandangan yg lebih baik. Dan sebagai ketua, ambil kira pendapat atau cadangan pekerja di bawah anda untuk sama-sama menigkatkan prestasi kerja pada masa hadapan.

 p/s : bak kata Wonderpets..."apa yg penting..?? kerjasama..!!"



Thursday 24 May 2012

Bantal Busuk

Assalammualaikum W.B.T

Bila sebut pasal bantal busuk, mesti ada antara kita yg dah terbayang-bayang bantal busuk kat rumah, kan? Ada orang bantal busuknya tu memang busuk gile la **kes tak benarkan mak basuh..hoho :p** Ada orang pula bantal busuknya tu berganti-ganti sarung. Dan ada orang bantal busuknya ialah teddy bear atau yg seumpama dengannya.

Aku..?? Aku tak pernah ada bantal busuk. Teddy bear yg aku pernah ada dari zaman kanak-kanak dulu tu pun dah hilang entah kemana. Adik aku yg bongsu tu, memang gile sangat dengan bantal busuk dia. Tak boleh orang lain pinjam. Mula la buat muka. Bantal busuk dia tu, ya ampun...memang busuk bangat!!

Kenapa pula nak cerita pasal bantal busuk ni Dylla..?? Takde la...aku tengah buat kerja, tiba-tiba teringat kat anak buah aku, Azeem. Dia tu pun lagi 1 manusia yg gilakan bantal busuk. Bantal busuk dia lagi la...bau susu masam! Adoii...macam mana la dia boleh tahan dengan bau busuk tu ye..?? Aku yg terbau dari jauh ni pun rasa nak termuntah. Apatah lagi dia yg dok bergomol-gomol dengan bantal tu.

Al-kisahnya, budak Azeem ni lagi extreme. Pantang orang cuit sikit bantal busuk dia, terus mengamuk. Kalau makngah dia yg seorang ni nak menumpang letak kepala sekejap pun, cepat-cepat ditolaknya sejauh yg mungkin. Punyalah bakhil anak buah aku yg seorang tu.

Kalau ibu dia tukarkan sarung bantal busuk dia tu, dan susun dengan bantal-bantal yg lain...dia pasti boleh cam juga bantal busuk dia tu. Walaupun sarung bantal busuk dia dengan bantal-bantal lain adalah sama, dia tetap boleh mencari di mana bantal busuknya. Bukan melalui bau ye. Tapi, dengan melihat bucu bantal. Aku pun tak faham. Tapi, itulah kaedah dia mencari bantal busuknya.

p/s : Hai...macam-macam la Azeem ni. Tiba-tiba je makngah teringat kat Azeem tau. Terus buat entri (",)



Majalah Ujang Bukan Sekadar Bahan Jenaka

Assalammualaikum W.B.T

Korang mesti tahu Majalah Ujang, kan? Majalah ini la yg menjadi penghibur aku di kala diri dilanda keresahan..chewah!! Tapi, betul la..kalau aku sedih-sedih, baca je majalah ni. Confirm aku boleh ketawa dan tersenyum semula.

Majalah Ujang ni sebenarnya bukan la sekadar komik semata-mata. Banyak input yg aku boleh dapat daripadanya. Selain dari menghiburkan, ada banyak pengajaran yg terselit di sebalik setiap cerita. Salah satu ruangan yg paling aku suka ialah ruangan Tok Putih - Sudut Renungan.




p/s : majalah lawak macam ni pun boleh bagi pengajaran pada kita kan (",)



Wednesday 23 May 2012

Al-Kisah Aku dan Bos

Assalammualaikum W.B.T

Petang tadi sebelum balik kerja, bos sempat mengamanatkan aku 1 kerja yg harus aku siapkan awal pagi esok. Memandangkan aku ni pekerja yg amat dedikasi **okay...sila abaikan statement syok sendiri ni ye** aku pun terima jelah dengan hati yg terbuka. Dah memang kerja aku pun.

Masa tu, aku dengan bos tengah bincang-bincang perihal dokumen perjanjian building land-lord tentang hal parking. Biasa la, bila staff dah pasang-surut, hal parking pun jadi isu la. Oh, lupa pula...kat sini, parking fees ditanggung oleh company. Jadi, aku sebagai orang yg bertanggungjawab, kena la pastikan parking space yg dibayar oleh company tidak sia-sia atau dalam erti kata lain - bayar free je (",)

Kebetulan kami berbicang di tempat aku. Jadi, haruslah aku yg duduk, kan? Bos masa tu berdiri betul-betul sebelah aku. Tengah dia cakap-cakap hal parking fees tu, dia suruh aku kira total amount yg patut kitaorang bayar. Tekan-tekan calculator...salah. Tekan-tekan lagi..salah lagi. Haish...apa kes?? Sekali bos tegur...

Bos : Awak ni kenapa..??

Aku : Adoiii...saya nervous la bos (jawab sambil sengih-sengih...saja nyakat bos..)

Bos : Nervous apanya...saya makan nasi la..!! (masa ni bos pun sengih-sengih juga la..)

Lepas tu kami sambung lagi operasi kira-mengira tu. Kali ni bos pula yg tekan calculator. Tekan-tekan...salah. Tekan lagi..salah lagi..hahahaha..tiba-tiba...

Bos : Dah saya pula yg nervous...

Aku pun bantai gelak la. Gelak besar ye. Takde nak kontrol-kontrol dah. Dengan bos sekali tumpang gelak. Adoi...bos, tolong la jangan buat perangai lucu macam ni, boleh tak..?? 


p/s : mana la nak dapat bos yg sporting dan kelakar macam ni (",)




Sport Check

Assalammualaikum W.B.T

Eh, hari ni aku macam rajin pula update blog kan. Dah masuk entri ke-3 untuk hari ni **eleh...baru 3 entri dah nak kecoh...huhu** Tengah lepak-lepak dalam bilik, sambil-sambil BW, layan lagu-lagu lama, tiba-tiba teringat kenangan ketika bersekolah di sekolah berasrama dulu.

Aku pernah bersekolah di asrama tau sebelum ni **alah, sekolah teknik je pun** Macam-macam kenangan ketika belajar di situ. Belajar sekelas dengan kawan-kawan yg sama dorm, ada kebaikan dan keburukannya juga. Tapi, sekarang bukan nak cerita tentang kebaikan dan keburukan tu. Aku nak cerita tentang kenangan sport check. Mesti semua orang tahu apa itu sport check, kan..?

Dulu-dulu, kalau di asrama, sport check ni dijalankan kalau ada kes je. Contohnya, ada kes kecurian ke. Kes pelajar tiba-tiba 'hilang' ke. Macam-macam kes lagi la pendek kata. Jadi, kenangan sport check di bangunan asrama tak sehebat kenangan sport check ketika di bangunan akademik la.

Masa aku baru-baru masuk sekolah tu **waktu aku jadi junior la senang cakap** banyak gile sport check yg pengawas-pengawas sekolah suka buat. Sikit-sikit sport check. Rimas gile aku rasa. Setiap hari Isnin memang tak payah cakap la...hari wajib sport check okay! So, setiap Isnin tu semua pelajar memang proper gile la **termasuk la aku sendiri** Hari-hari lain tu, na'uzubillah...ada juga yg aku tak berapa nak cam, orang ke penyamun ni..?? Hahaha...adoi, gurau je (",)

Al-kisahnya, aku pernah kantoi untuk 1 sport check ni. Sport check yg julung-julung kali dijalankan sebaik saja tamat minggu orientasi. Hampagas betul! Kantoi pada sport check pertama...pecah rekod sungguh!

Kat sekolah tu memang la mewajibkan pelajar-pelajar perempuannya menutup aurat. Aurat di sini bermaksud, memakai tudung, memakai singlet **kaler putih je tau...kaler lain tak boleh** memakai kain dalam dan tidak boleh melipat lengan baju kurung. 

Masa tu, aku kantoi untuk 2 perkara. 1-aku lipat lengan baju kurung. 2-aku tak pakai kain dalam! Adoi laa...kesengalan yg tak boleh dimaafkan. Mungkin sebab dah terbiasa buat kat sekolah lama, jadi benda tu dah sebati dengan aku. Masa tu aku fikir, apa fungsinya kain dalam tu kalau dah kain kurung sekolah yg kaler biru laut tu dah tebal gile..?? Takut sangat yg bukan muhrim nampak kaler kulit kaki kita agaknya. Wallahu'alam. Tapi, untuk 2 kesalahan tu, aku tak dibenarkan masuk ke kelas untuk waktu pertama pembelajaran di hari pertama! Gila tak?? Bukannya kena buat apa-apa pun. Hanya di tahan dari masuk kelas je. Apala...

Masa tu, aku tengok kakak pengawas yg mengantoikan aku macam nak telan dia je. Memang la aku buat salah, tapi bagi la denda yg bernas sikit. Dah tak sempat aku nak berkenalan dengan cikgu pertama yg mengajar aku masa tu. Sedih tau..sob..sob..

Tapi, itu memang pengajaran terbaik buat aku la. Lepas je kantoi tu, aku dah tak lipat lengan baju kurung lagi. Habis-habis pun aku sinsing kejap la. Tu pun masa nak buat kerja. Selebihnya, aku selesa lengan baju kurung tu 'terletak' pada tempat yg sepatutnya. Kain dalam?? Memang terus pakai la sampai sekarang. Baru aku faham rasa 'selesa' memakai kain dalam tu macam mana. 

Kepada kakak pengawas yg mengantoikan aku tu, terima kasih kerana mengajar saya untuk menjadi perempuan yg lebih beretika (",)

p/s : sebenarnya malu gile kantoi sebab tak pakai kain dalam...hahahaha





Perasaan ke Perasan..??

Assalammualaikum W.B.T

Sebelum aku terus mengarut panjang, terlebih dahulu aku nak ucapkan Ahlan Wasahlan Ya Rejab. Alhamdulillah, dah masuk bulan Rejab pun. Cepat betul masa berlalu ye. Lepas Rejab, Syaaban pula. Lepas tu, seluruh umat Islam dah kembali berpuasa di bulan Ramadhan. Moga-moga kita semua masih diberi peluang dan kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa tahun ini..amin.

Okay...berbalik kepada tajuk entri : Perasaan ke Perasan..?? Apala Dylla ni...suka sangat buat tajuk entri yg berunsur soalan. Ampun ya...itulah tajuk yg melintas kat kepala otak aku ni haa (",)


Google

Perasaan dan perasan ni kalau mengikut kamus aku, bermaksud perbuatan yg melibatkan hati. Walaupun kedua-duanya mempunyai unsur yg sama iaitu RASA, tapi maksud sebenar kedua-dua perkataan ini jauh benar bezanya.

Mengikut pengalaman aku sendiri, perasaan tu bila aku mula menyukai atau membenci sesuatu perkara atau seseorang. Dan perasan itu pula, bila aku rasa sesuatu perkara atau seseorang tu menyukai atau membenci aku...hahaha **kes syok sendiri la kot** Siapa pernah lalui keadaan macam ni...sila angkat tangan (",)

Tak kisah la perasaan atau perasan sekalipun, kedua-duanya bila melibatkan hati, akan membuatkan emosi kita menjadi aktif. Emosi yg aktif ini akan membuatkan diri kita menjadi lebih sensitif. Di ketika ini, terpulang la kepada diri kita sendiri untuk menentukan hala tuju yg seterusnya. Janganlah sampai terbawa-bawa hinggakan semua perkara jadi tak menentu. Susah kot nanti.

Apa yg penting, perasaan suka atau benci tu sebenarnya sesuatu yg tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata. Penyebab untuk suka atau benci hanyalah sekadar cara untuk memuaskan hati sendiri. Well, tepuk dada tanyalah hati. Dimanakah kedudukan hati kita yg sebenarnya. Pada perasaan suka, atau pada perasaan benci..?

p/s : dan jangan lupa tanya pada hati, berapa kali kita perasan ada orang suka atau bencikan kita dalam sehari (",)




Kucing Belaan

Assalammualaikum W.B.T

Dah beberapa hari tak update blog, sampai tak tahu nak tulis entri tentang apa. Nak tulis pasal Jutawan Facebook dah berkahwin dengan kekasihnya, rasa macam ramai dah tulis. Nak tulis tentang Nazmi Faiz ikat kontrak 3 tahun dengan kelab Portuguese tu pun, pasti ramai dah mengolahnya. Jadi, nak cerita pasal apa lagi ni..?? Cerita pasal diri sendiri jelah ye. Syok sendiri, orang kata (",)

Aku nak cerita pasal kucing belaan di ofis kitaorang. Sungguh. Kucing ni memang menjadi belaan department kami. Comel sungguh kucing ni. Tak pernah buat perangai. Baik je. Tak suka bunyi-bunyi macam kebanyakan anak-anak kucing yg lain. 

Disebabkan kecomelan dan kebaikan tingkah laku si kucing ni, aku beri penghormatan buatnya untuk enter-frame dalam blog buruk aku ni...hahaha

Presenting to you...kucing belaan kami..!!!



hehehehe...kucing kertas ni best...tak takut langsung main-main dengannya (",)



Jinak kan..?? Hahahaha...



p/s : serius takde idea nak tulis entri...terpaksa mengarut kejap



Tuesday 22 May 2012

Bila Kesetiaan Diuji

Assalammualaikum W.B.T

Bersua kembali kita dalam rancangan...apa yg kau merepek ni, Dylla..?? Okay. Tak nak mengarut lama-lama. Alhamdulillah. Dapat juga aku buat 1 entri setelah senyap beberapa hari ni. Idea untuk tulis entri ni datang selepas aku berbual di YM dengan seorang kawan lama, yg aku kenali sejak hampir 10 tahun yg lalu **lama juga kita dah kenal ye kak amy**

Takde niat nak bercerita sangat tentang kisah cinta aku kepada umum. Sekadar untuk perkongsian bersama. Aku kenal dengan si dia selama hampir 2 tahun. Dan dalam tempoh perkenalan ni, banyak benar duka daripada suka yg telah aku lalui. Banyak benar dugaan yg datang. Banyak juga rintangan yg terpaksa di hadapi. Amboi, macam apa je. Tapi, itulah realitinya. Aku tak pasti sekuat manakah aku, tapi yg pasti aku terus lalui semuanya hingga kini. 

Belum pasti apakah kesudahannya, tapi, alhamdulillah...berkat kesabaran aku, aku berjaya menempuhinya hingga ke tahap ini. Tapi, jalan ceritanya masih panjang. Cerita yg ada sehingga ke hari ini, yg aku nak kongsi dengan kawan-kawan semua, ialah tentang kesetiaan yg diuji.

Hmm...agaknya, bila dah lalui banyak sangat dugaan, aku dah jadi kebal kot dengan dugaan-dugaan lain..?? Wallahu'alam. Tapi, itulah yg aku rasa. Bila kak Amy bercerita tentang sesuatu yg begitu tepat untuk dikaitkan dengan si dia, buat aku terfikir panjang. Andai kata persamaan itu memang ada, agak gila juga aku masih setia...hahaha..kesetiaanku diuji ni weh!! Tapi, alhamdulillah...aku tak cepat melatah. Aku terima dengan hati yg terbuka. Andai kata si dia memang begitu, ini memang dugaan yg Allah nak beri pada aku. Tapi, jika si dia sebaliknya, maka aku la orang yg akan paling berasa senang hati.

Kenapa aku masih setia bila dah pelbagai cerita tentang si dia yg aku dengar..? Entah. Naluri mungkin. Naluri yg memujuk supaya aku terus setia. Well, nak ikut hati, mati...nak ikut rasa, binasa. Jadi, aku ikutlah naluri. Selalunya naluri akan membawa kita ke jalan yg sepatutnya kita harus lalui.

Apa pun, kita sebagai manusia biasa, hanya mampu merancang. Selebihnya, Allah yg menentukan. Begitu juga la dengan aku. Apa yg aku rancang hari ini, belum tentu dapat dilaksanakan keesokan harinya. Kesetiaan yg diuji ni belum tentu mematikan semangat aku untuk teruskan hidup seperti selalu.

Kak Amy, thanks for your concern. I'll take care of myself...as usual..as you know me. Hanya perlu berdoa, moga semua urusan aku dipermudahkan-Nya, dan diberikan yg terbaik untuk aku melengkapkan kehidupan aku ni..wallahu'alam.


p/s : aku memang seorang yg setia la..hahaha (",)



Friday 18 May 2012

Simpan Gambar Anak Sendiri

Assalammualaikum W.B.T

Cepat betul masa berlalu. Dah Jumaat pun. Esok, kalau takde aral, kami akan mengadakan kenduri tahlil sempena pemergian arwah atuk hari yg ke-40. Sebelum tu, mak dan ayah ada perancangan untuk menghadiri majlis nikah anak buah ayah **sepupu aku la tu** di Damansara. Alhamdulillah, bakal isterinya adalah Saudara Baru **sebelum ini menganuti agama Budha dan kini sudah bergelar seorang Muslim**

Okay. Cukup cerita tentang itu. Aku nak cerita tentang anak buah aku yg seorang tu. Siapa lagi kalau bukan anak abang aku, Azeem. Azeem pun dah masuk usia 4 tahun, bulan Mac yg lepas. Tapi, mulutnya petah betul. Mengalahkan orang tua. Sampai satu tahap, ada la rasa malas nak layan...hahaha (",)

Beberapa bulan yg lepas, aku dan abang aku sibuk berborak tentang aplikasi handphone masing-masing. Sekali dia tengok gambar-gambar dalam handphone aku ni. Ternyatalah memang banyak sekali gambar anaknya di dalam handphone ku itu. Tiba-tiba dia macam seronok main delete-delete gambar. Amboi...suka hati kau je kan!!

Aku : Kau kenapa rajin sangat tolong delete gambar-gambar aku ni...??

Abang : Laa..aku delete gambar anak aku. Kalau kau nak simpan gambar anak, kau simpanlah gambar anak kau sendiri..!

Aku : ????

Ada unsur-unsur cari pasal di situ. By the way...abang aku sebenarnya nak tanya bila aku nak kahwin. Jadi, dia bagi ayat indirect kat aku. Tapi, macam tulah caranya. Menyakitkan hati je. Hampeh betul abang ni!


p/s : haa laa....aku kahwin nanti tak simpan gambar anak kau dah..huh!



Pengisian Jumaat (11)

Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Ali-Imran, ayat 133-134 :

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada TUHANmu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa; iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."




Thursday 17 May 2012

Kuat Sentap...Masalah Ke...??

Assalammualaikum W.B.T

Agak-agak nak bagi alasan apa lagi bila aku lambat update blog hari ni...? Sibuk...? **alasan biasa** Internet slow...? **rasa ok je** Dah tu...apa lagi...?? Malas kot...? **hahahaha...paling tepat!!**

Okay..tak nak malas-malas. Hari ni nak bercerita tentang perilaku manusia yg paling selalu berlaku di mana-mana je...KUAT SENTAP **amboi Dylla...huruf besar sangat kau letak ye...siap bold kan pula tu** Menurut kamus aku sendiri, kuat sentap ni adalah orang yg cepat terasa bila diri disindir atau dipermainkan. Apa maksud kamus korang pula..? Share details, please (",)

Senang cakap macam ni la, orang yg kuat sentap ni sebenarnya terlalu banyak bermain dengan emosi. Bila terlalu banyak bermain dengan emosi, emosi akan menjadi kurang stabil. Jadi, bila dah emosi kurang stabil, mula la nak sensitif, kan? Orang usik-usik sikit pun nak terasa. Masalah ke orang macam ni...?

Bagi aku, memang bermasalah sebenarnya nak berurusan dengan orang yg macam ni. Aku tak nafikan, ada masa aku pun boleh jadi kuat sentap juga. Disebabkan aku ni jenis yg malas nak fikir hal remeh-temeh, jadi aku biarkan je. Tapi, tengok kes juga la. Bukan semua kes aku nak menyentap la. Agak-agak kes berat, baru la aku boleh menyentap dengan jayanya...hoyeah!!

Macam mana nak berhadapan dengan orang yg macam ni...? Mengikut pengalaman aku sendiri la ye, orang-orang yg macam ni tak perlu nak dipujuk-pujuk dah. Dia nak sentap...? Biarkan je. Sebab, selalunya dia akan kembali seperti biasa bila emosi dia dah pulih. Itulah, main lagi emosi. Kan dah susah. Orang bergurau pun nak ambil hati, stress, tension, bla bla bla.

Jadi, kepada orang-orang yg kuat sentap ni, please behave yourselves. Jangan sampai orang lain memandang anda dengan perasaan yg menjengkelkan. Ada masa kita boleh la merajuk. Bukan tak boleh langsung. Cuma, fikir dulu la..."releven ke aku merajuk untuk hal sekecil ini...?" Kalau rasa tak releven langsung, buang terus je niat nak menyentap tu. Tak payah nak merajuk bagai la. Tarik muka 14. Annoying la beb...!!


Google

p/s : kadang-kadang aku layan juga perangai manusia yg kuat sentap ni...but most of the time...boleh jalan la..malas nak fikir...hahaha...gila jahat aku (",)


Wednesday 16 May 2012

Selamat Hari Guru

Assalammualaikum W.B.T

Hari ini, seluruh sekolah di Malaysia pasti sibuk dengan sambutan hari guru. Sudah hampir 13 tahun aku meninggalkan alam persekolahan. Hampir 13 tahun juga aku tidak lagi menyambut hari guru bersama guru-guru yg aku sayangi. Entah apalah khabar mereka. Moga hidup mereka sentiasa dirahmati Allah S.W.T selalu hendaknya (",)

Rindunya saat-saat manis ketika sambutan hari guru di sekolah dulu. Aku dulu pernah bersekolah di 6 buah sekolah yg berlainan. Ada seorang guru yg pasti aku sayangi di setiap sekolah. Walaupun aku bukanlah jenis pelajar yg suka membodek guru, tapi kredibiliti guru itu yg menjadi daya penarik untuk aku menyayangi dan menyanjungi didikannya.

Kepada semua guru-guru di Malaysia, Selamat Hari Guru. Jasa anda semua amatlah bernilai dan dihargai sentiasa. Kepada rakan-rakan blogger yg bergelar guru :



dan kepada bakal guru :




"Moga hidup anda semua sentiasa dirahmati Allah S.W.T selalu. Jadilah pendidik yg terus mendidik tanpa jemu dan putus asa..!!"


SELAMAT HARI GURU (",)


**edited**


Monday 14 May 2012

Bukan Mudah Melepaskan Yg Kita Sayang

Assalammualaikum W.B.T

Malam ni nak cerita tentang topik yg agak sentimental sikit. Topik yg berkaitan dengan hati dan perasaan. Topik yg sangat sinonim dengan orang yg putus cinta.

Rasanya, ramai di antara kita yg berpengalaman bercinta. Ada percintaan yg membawa bahagia selamanya. Ada juga percintaan yg terkandas di tengah jalan. Aku merupakan salah satu contoh terbaik yg telah melalui pengalaman gagal dalam bercinta.

Aku tak nafikan, ketika aku putus cinta dulu, aku kalah dengan hati aku sendiri. Aku tunduk dengan perasaan aku sendiri. Aku biarkan hati dan perasaan yg mengawal akal. Aku turutkan saja kemahuan hati dan perasaan hingga aku jadi amat sakit. 

Masa tu aku tak terfikir langsung tentang perasaan mak dan ayah yg amat bimbangkan keadaan aku. Aku tak terfikir langsung tentang kerjaya aku hingga musnah semuanya. Aku tak terfikir apa yg bakal berlaku dalam hidup aku hingga aku abaikan semuanya. Jelas, aku begitu lemah untuk mengharungi dugaan hidup yg Allah S.W.T beri. Jelas, aku tidak percaya bahawa Allah S.W.T sayangkan aku. Teruk, kan...?

Bila aku dah melepasi fasa "frust menonggeng" tu, baru la aku tersedar dari lena yg panjang. Aku telah sia-siakan masa bertahun-tahun hanya kerana aku tak sanggup melepaskan orang yg aku sayang. Hanya kerana aku yakin, tiada pengganti sebaik dirinya, aku korbankan masa dan kehidupan aku begitu saja. Sesungguhnya, aku bersyukur kerana Allah S.W.T memberi kesedaran kepada aku untuk aku berubah dan meneruskan hidup seperti sediakala.

Melihat adik-adik yg begitu kecewa kerana putus cinta, aku nampak diri aku dalam diri mereka. Aku nampak bagaimana aku sengsara untuk menerima hakikat bahawa orang yg aku sayang itu tidak ada lagi dalam hidup aku. Dan aku tertanya, kenapa sekarang baru aku nampak semua itu..?

Mudah jawapannya. Kerana Allah S.W.T nak beri peringatan kepada aku. Aku hanyalah hamba-Nya yg lemah dan sering lalai. Kerana itulah aku diingatkan dengan dugaan sekecil ini. Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosaku, dan Kau rahmatilah hidupku selalu...amin.

Adik-adik, jangan biarkan diri terlalu hanyut dalam arus kekecewaan. Benar, bukan mudah nak melepaskan apa yg kita sayang. Namun, jika apa yg kita sayang itu telah ditakdirkan bukan milik kita, tak guna kita simpan ia. Lepaskan la dengan harapan ada yg lebih baik menanti kita di hadapan.

Jangan terlalu takut dengan apa yg bakal mendatang. Yakinlah dengan janji Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Buang semua perasaan was-was terhadap apa yg telah Allah S.W.T tentukan untuk kita. Sesungguhnya, DIA lah yg Maha Mengetahui segala-galanya.


p/s : menjadi lebih tabah selepas melalui pelbagai dugaan hidup (",)





Mimpi...Betul Ke Mainan Tidur..??

Assalammualaikum W.B.T

Selamat pagi semua. Isnin kembali lagi seperti sediakala. Rutin harian bermula sejak awal pagi tadi. Semangat nak pergi kerja hari ni macam biasa. Tak begitu teruja. Tapi, takde la rasa malas pula kan (",)

Apa pula kena-mengenanya mimpi dengan semangat nak pergi kerja ni..?? Memang takde kena-mengena pun. Sebenarnya nak cerita pasal mimpi. Tapi, saja buat intro motivasi diri..huhu :p

Orang kata, mimpi tu mainan tidur. Betul ke..? Masa tidur pun kita boleh main-main rupanya ye..? Hahaha...okay, mengarut sudah cik Dylla oii!! Kebetulan, aku bermimpi sesuatu yg sangat mengarut waktu Subuh tadi. Aku rasa betul la waktu tu Subuh sebab aku tersedar masa azan Subuh dilaungkan.

Mimpi mengarut tulah yg menyebabkan aku terpanggil nak menulis entri ni..cheh..macam apa je.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

"Mimpi itu ada 3 jenis. Mimpi yg berbentuk khabar gembira daripada Allah S.W.T, mimpi sedih daripada Syaitan dan mimpi yg disebabkan mainan jiwa seseorang."

Mimpi sedih daripada syaitan dan mainan jiwa tidak memberi sebarang erti. Jadi, jika kita bermimpi sesuatu seperti ini, janganlah kita mengambil berat tentang mimpi itu. Anggap saja mimpi itu sebagai hiasan tidur kita **aku sebenarnya susah betul nak dapat mimpi kalau tidur**

Para sahabat Baginda pernah bertanya tentang mimpi benar yg dimaksudkan di dalam hadithnya. Maka, Baginda menjawab,

"Mimpi yg benar adalah yg dimimpikan oleh orang-orang yg soleh."

Mimpi yg benar adalah gambaran yg diberikan oleh Allah S.W.T tentang perkara-perkara baik yg bakal berlaku dalam hidup. Mimpi yg benar juga boleh menjadi peringatan kepada perkara buruk yg bakal terjadi.

Mungkin ada di antara kita yg terlalu taksub dengan mimpi sehingga sanggup mencari tafsiran bagi mimpi yg kita alami itu. Aku tahu benda tu karut, tapi kadang-kala aku sendiri tak terlepas dari terfikirkan, "apa maksud mimpi tu ye..?"

Menurut hadith Al-Bukhari dan Muslim :

"Apabila salah seorang kamu melihat mimpi yg disukainya, sesungguhnya ia daripada Allah S.W.T, maka khabarkanlah kepada orang lain, dan sekiranya dia melihat yg sebaliknya dari apa yg dibencinya, maka sesungguhnya ia daripada Syaitan, maka beristi'azahlah (membaca A'uzubillahiminassyaitonirrajim) dan janganlah bercerita kepada orang lain, tidaklah ia dapat memudaratkan."

Sesungguhnya, Syaitan itu akan sentiasa cuba menyesatkan kita, walau di dalam mimpi sekalipun. Berhati-hatilah kita sebelum benar-benar pasti mimpi itu benar atau sebaliknya. Jangan terlalu taksub akan mimpi sehingga memudaratkan diri kita. Wallahu'alam.


p/s : tak pernah ambil peduli pasal mimpi sebab bagi aku mimpi itu memang mainan tidur (",)



Sunday 13 May 2012

Hari Ibu

Assalammualaikum W.B.T

Aku sebenarnya confuse bila tarikh Hari Ibu ni. Bukan apa, bagi aku, hari-hari adalah hari ibu. Hari-hari pun aku nak hargai mak aku. Selagi hayat dia dan aku ada, selagi itulah aku nak buat yg terbaik untuk mak. Untuk ayah juga la. Kang merajuk pula dia aku lebih-lebihkan mak..hehehe (",)

Apapun, sambutan Hari Ibu ni walaupun pernah ada isu yg mengatakan haram disambut kerana sejarahnya, kita sebagai umat Islam harus tahu bahawa menghargai ibu bukan sekadar dengan mengucapkan "Selamat Hari Ibu" bila tiba tarikhnya. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menghargai ibu.

Pada zaman Rasulullah S.A.W, ada seorang pemuda datang bertemu Baginda dan bertanya :

"Siapakah manusia yang paling layak aku berbuat baik terhadapnya..?"

Baginda menjawab, "ibu kamu."

Pemuda itu bertanya lagi, "kemudian siapa?"

Baginda menjawab, "ibu kamu."

Pemuda itu bertanya lagi, "kemudian siapa?" 

Baginda menjawab, "ibu kamu."

Pemuda bertanya lagi, "kemudian siapa?"

Baginda menjawab, "ayah kamu."

Jadi, terbuktilah bahawa ibulah manusia yg paling berhak dilayan dengan sebaik-baiknya tiga kali ganda lebih daripada ayah. Syurga kan terletak di bawah kaki ibu (",)

p/s : I Love You Mom....!!!





Thursday 10 May 2012

Bila Semuanya URGENT

Assalammualaikum W.B.T

Tak tahu la kenapa sejak akhir-akhir rasa agak malas nak update blog. Tapi BW rajin pula. Rasa macam lagi best je baca cerita kawan-kawan dari menulis cerita sendiri..hahaha

Tetiba hari ni terasa ada mood nak update blog pula. Ingatkan hari tu lepas selesai audit, aku free la sikit. Tapi, macam makin banyak lak kerja aku ni haa. Setiap hari dapat kerja yg bertaraf URGENT. Adoiii...letih nak layan macam ni. Habis semuanya urgent, yg mana satu patut aku dulukan...??

Aku faham konsep urgent tu macam mana. Tapi, dah kalau pukul 3.45pm baru bagi dokumen minta aku selesaikan, pukul 4.00pm tanya cheque dah siap ke belum...tak ke gila namanya tu...?? Hahahaha...sekali gila yg aku bagi. Bukan apa, prosedur nak sampai ke step buat cheque tu bukan melalui aku je. Banyak lagi halangan yg nak kena tempuh.

Kawan-kawan oii, tolong la faham. Aku di sini bukan buat satu jenis kerja je. Aku jaga semua department. Kalau semua department buat hal nak URGENT, boleh terbelah lapan badan aku ni haa. Sekarang ni aku mengamalkan konsep - 1st Come 1st Serve - tak kisah la dari department mana sekalipun. Kadang-kadang diorang ni politik kuat. Sengaja "jual" nama Dato' sebab nak aku dulukan dokumen diorang. Kambing betul!

Anyway...benda-benda macam ni la yg melunturkan semangat aku nak update blog. Nanti kalau buat entri masa tengah stress, mesti jadi entri merapu. Walaupun tak ramai yg nak baca, terasa la juga nak tulis sesuatu yg bagus kan **eh, macam la apa yg aku tulis sekarang ni bagus sangat...hahahaha** Well, aku cuma menulis tentang pengalaman aku. Kalau ada kena-mengena dengan orang lain tu, memang takde niat nak sengajakannya. Orang kata, belajar dari pengalaman. Dan inilah yg sedang aku praktikkan (",)


p/s : bila la diri ini nak berhenti merungut tentang kerja...??




Friday 4 May 2012

Broga Hill, Semenyih

Assalammualaikum W.B.T

Ahad lepas, aku dan sekumpulan staff di UniRazak ni beraktiviti di Broga Hill. Aku pasti ramai yg familiar dengan tempat ni, kan? By the way...program ni dah lama terperam. Minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, akhirnya terlaksana juga. Punya la susah nak plan walaupun tak ramai yg join.

Apapun, alhamdulillah sebab kumpulan kami selamat pergi dan kembali. Tiada yg cedera. Hanya kepenatan yg singgah dan mengambil masa 1-2 hari untuk hilangkannya...hahaha

Malam sebelum bertolak ke sana, kami sempat menonton wayang, midnight show - The Avengers. Filem tu memang best!! Err..tu pendapat peribadi aku la. Bagi sesiapa yg belum tengok, silakan tengok. Tak rugi punya (",)

Lepas tu, ikutkan plan asal, kami akan ke uptown Serdang sebaik saja selesai menonton. Tapi, entah macam mana plan tergendala disebabkan beberapa isu yg timbul. Menunggu beberapa orang kawan yg nak join mendaki Broga Hill tu pun dah makan masa yg lama. Kebetulan, malam tu ialah malam perhimpunan BERSIH. Jadi, ada kawan yg datang dari arah Petaling Jaya tu dah tersangkut pula. Banyak jalan yg ditutup. Akhirnya, kami la pula yg terpaksa menjemput dia.

Kami bertolak ke sana hampir pukul 4.30 minit pagi. Tiba saja di exit Semenyih tu, singgah sekejap di Petronas berhampiran. Masa tu aku rasa dalam pukul 5.15 minit pagi. Aku terus mencadangkan untuk mencari masjid terhampir untuk menunaikan solat Subuh sebelum mendaki. Alhamdulillah, kumpulan kami sempat berjemaah dengan penduduk setempat.

Setibanya di kaki Broga Hill tu, kami tak berlengah lagi untuk memulakan langkah. Wahhh...agak gelap cuaca pagi tu. Nasib baik beberapa orang antara kami ada yg membawa lampu suluh. Tapi, bagi sesiapa yg terlupa nak bawa lampu suluh pun tak jadi masalah sebab ada peniaga yg menjualnya di sana.

Tak pasti berapa lama masa yg kami ambil untuk tiba di puncak, tapi kami memang banyak kali berhenti. Ada beberapa orang di dalam kumpulan kami yg tak begitu lasak. Jadi, aktiviti mendaki ni agak mencabar sikit la bagi mereka. Macam mana pun, aku kagum juga la dengan semangat yg mereka ada. Tetap gigih mendaki walaupun baju dah basah lenjun dan nafas pun hampir tercungap-cungap. Aku?? Alhamdulillah. Sedikit penat. Tapi, berkat berkhemah di Lata Hammer minggu sebelumnya membuatkan aku sangat-sangat bersyukur dengan stamina yg ada. Dan yg paling penting, aku tak lenguh-lenguh kaki (",)

Tak nak cerita panjang lagi ** walaupun dah panjang rasanya entri ni ** enjoy de pictures!!



Serius jatuh cinta dgn superhero ni..hahaha


Aktiviti santai di perkarangan UniRazak lepas menonton wayang



Kami antara terawal yg tiba di puncak Broga Hill



Subhanallah...indah sungguh ciptaan-Mu Ya Allah
Suasana ketika matahari nak terbit


Masa ni hari dah cerah...tapi kami tak boleh teruskan perjalanan
sebab menunggu dua orang kawan yg belum tiba
 

Cantikkan view belakang tu...??
Suka sangat gambar ni (",)



Peace...!!


Melompat lebih tinggi...!!


Iye...kami berdua je perempuan yg join aktiviti ni


Jejaka-jejaka UniRazak yg masih bujang..ehem..ehem..


Okay...it's time to go back


Perjalanan balik yg lebih mencabar
Trek yg licin tu betul-betul menguji kestabilan badan...hahaha


Selamat tiba di kaki bukit Broga
Next time kami datang lagi ya...!!!


p/s : serius best aktiviti ni...lagi best kalau dapat buat dengan geng-geng blogger (",)





Lata Hammer, Bentong

Assalammualaikum W.B.T

Lamanya tak update blog. Blog ni dah la buruk. Bertambah buruk dah jadinya...huhu :p

Well...sebenarnya kepenatan beraktiviti lasak selama dua minggu berturut-turut menjejaskan mood nak berblogging. Haa..melampau sangat bunyinya kan. Tapi, betul...tak tipu. Ni pun baru je nak terasa segar kembali seeperti sediakala.

Dua minggu lepas ** ya Allah...gile lama peram cerita ni ** aku ke Lata Hammer yg terletak di Bentong, Pahang. Bagi sesiapa yg memang tak pernah dengar nama Lata Hammer tu, mungkin lebih familiar dengan nama Perting Valley. Kalau nama tu pun tak pernah dengar, sila rujuk dengan uncle Google la ye (",)

Kami ke sana seramai 5 orang. Yg bestnya, kereta standard boleh jadi kereta rally. Dan yg paling best, dua-dua kereta tu adalah kereta manual, dan yg boleh drive kereta manual hanya aku dan Fahzan. Wahhh...gila betul aku terpaksa me'rally'kan kereta tu. Jalan nak menuju ke sana memang maveles la. Tercabar kesabaran aku memandu kereta manual masa tu.



Fisrt crossing - mesti kena lalu sungai ni untuk teruskan perjalanan
 Alhamdulillah, kami selamat tiba hampir jam 11pagi. Sempat singgah di balai polis Bentong untuk membuat laporan tentang aktiviti camping selama dua hari tu. Tapi kan, masa nak buat laporan tu, adalah seorang abang polis ni boleh tanya kat kitaorang, "eh, korang nak pergi Lata Hammer ni takde dengar cerita apa-apa ke pasal tempat tu...?"

Aku yg masa tu tengah isi form, terus pandang abang polis tu. Jangan la bikin spoil abang polis ni. Cerita apa pula..? Aku tak pernah dengar apa-apa pun. Tetiba je rasa nak patah balik...hahahaha



Berhenti rehat kejap...letih tau!!



Ada signboard Lata Hammer kat situ

Tapi, kami teruskan juga perjalanan. Sebelum mendaki, Shukry sempat membaca doa agar kami selamat pergi dan kembali. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 20 minit. Itupun sebab berhenti sebanyak 3 kali. Memang penat. Tapi, lepas tengok air terjun kat Lata Hammer tu, terus hilang penat. Rasa tak sabar-sabar nak mandi.



Nampak tak cerun ni...??
Haa..kena turun sini tau nak ke Lata Hammer tu



Aku teragak-agak juga nak turun pada awalnya
Gila curam...seram aku!!



Taraaaa...ini la dia Lata Hammer a.k.a Perting Valley Waterfall



Ada pantai kat kawasan ni...cantik kan??

Yg lelaki terus bergegas siapkan tapak khemah dan pasang khemah. Dan kebetulan, perempuan hanya berdua je. Jadi aku dan seorang perempuan lagi tu ** sepupu aku je ** sibuk-sibuk siapkan makan tengahari. Masing-masing dah lapar sebenarnya.



Aktiviti mendirikan khemah


Hari pertama tu, takde aktiviti pun. Lepas je makan tengahari, kami mandi-manda sebelum sekumpulan orang asli sampai di situ. Bila ditanya, mereka kata nak memancing ikan. Oh, ada ikan rupanya! Terus rasa teruja. Patutlah si Shukry tu bawa pancing. Aku tak terfikir lak nak tanya.

Petang tu, masing-masing dah kepenatan dan terlelap dalam khemah. Aku tersedar dari tidur hampir jam 6.30 minit petang. Gile lama aku tidur! Nikmat sungguh dapat tidur dengan bunyi-bunyi unggas dan udara yg nyaman. Jangan jeles ye...hahaha



Ini betul-betul tau...bukan lakonan semata-mata (",)

Sebaik saja keluar dari khemah, sepupu aku dah sibuk-sibuk sediakan bahan untuk BBQ. Wahhhh...menarik!! Aku terus la menyibukkan diri. Membantu apa-apa yg patut. Dah siap makan, kami turun ke kawasan sungai untuk menyuluh udang. Haa...mesti pelik kan? Betul...memang kitaorang terpaksa menyuluh udang sebab dah malam dah waktu tu. Rasa sangat-sangat tenang. Bunyi air terjun. Bunyi binatang-binatang dalam hutan tu. Semuanya menenangkan.



Sempat layan perasaan masa aktiviti menyuluh udang malam tu...ngee :p

Kami kembali semula ke khemah hampir jam 11 malam. Sempat pula si Fahzan tu request maggie sebelum tidur. Lapar katanya. Okay la. Aku pun masakkan jelah. Lagipun, sepupu aku tu pun nak menjamu perut husband dia juga, Yohan. Lepas makan-makan, terus masuk khemah. Layan mata pula.



Errr....aku la tu kot...hahaha

Hari kedua, kami teruskan aktiviti mandi-manda. Kena mandi puas-puas sebab lepas lunch dah nak balik. So, aku pun apa lagi. Selain mandi, bergambar sakan la. Tu kan aktiviti wajib (",)



My cousin n her husband



Yohan dan Fahzan
 

Isi perut sebelum balik umah (",)

Dah bersiap-siap semua, kami teruskan perjalanan balik. Hampir pukul 3 petang kami tiba di kawasan meletak kereta tu. Lega sangat. Kami sempat singgah di Genting Sempah untuk mengisi keperluan perut buat kesekian kalinya. Dan akhirnya, aku sampai di rumah tepat ketika azan Maghrib berkumandang. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan dan perjalanan kami.


p/s : rasa nak pergi lagi..best la!!