Pages

Tuesday, 15 November 2011

Kerana Takdir - Bab 1


Longlai langkah kaki Idham, masuk ke dalam rumah mewah jenis banglo 2 tingkat itu. Kedua-dua ibu dan ayah angkatnya kini sedang sibuk mengeluarkan barang-barangnya dari dalam kereta. Seorang wanita tua menyambut mesra kedatangannya.

"Puan, ini ke dia budaknya?"

"Ya, Mak Jah.. inilah dia budak yang saya ceritakan tu. Idham namanya.." mesra Jamilah memperkenalkan anak angkatnya itu.

Idham lantas menyalami tangan wanita tua yang dikenali sebagai Mak Jah itu. Dia tunduk lantas mencium tangan Mak Jah. Perbuatannya itu membuatkan Mak Jah secara spontan menarik tangannya dari genggaman Idham.

"Kenapa..?" tanya Idham, curiga.

"Err..takde apa-apa Idham. Segan pula Mak Jah bila Idham cium tangan Mak Jah. Mak Jah orang gaji je kat sini.."

"Tapi, Bonda cakap kita kena hormat orang yang lebih tua. Tak kiralah siapa dia sekalipun," balas Idham sambil merenung tepat ke wajah gusar Mak Jah.

"Kan saya dah cakap, Idham ni sopan budaknya," Kamil tiba-tiba menyampuk. Dia senang melihat sikap sopan yang ditunjukkan Idham.

Jamilah lantas merangkul mesra bahu Idham. Dia mencium dahi Idham. Sudah lama dia mengusulkan rancangan untuk mengambil anak angkat kepada suaminya, Kamil. Namun suaminya itu tidak pernah bersetuju. Sehinggalah baru-baru ini Kamil membuat kejutan dengan mengatakan permohonannya untuk mengambil anak angkat telah dipersetujui oleh Pengetua Rumah Bakti, Bonda Suraya.

Mereka yang telah hampir sepuluh tahun berkahwin, tidak lagi dikurniakan anak. Bukan kerana kedua-dua mereka mempunyai masalah kesihatan. Tetapi kerana rezeki masih belum berpihak kepada mereka berdua. Jamilah redha dengan takdir yang telah ditentukan. Dia bersyukur kerana Kamil masih setia disisinya dan sentiasa ada untuk menemaninya.

"Idham, kami dah anggap Mak Jah ni macam keluarga kami sendiri. Jadi, Idham janganlah segan-segan dengan dia ya. Anggap dia macam ahli keluarga Idham juga," lembut Jamilah bersuara di tepi telinga anak angkatnya itu.

Idham sekadar mengangguk. Dia cuba tersenyum memandang wajah Mak Jah yang mulai dimamah usia. Kamil kini menarik tangannya untuk masuk ke dalam rumah. Segera langkah kaki mereka berdua menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas. Jamilah hanya mengekori dari belakang. Mak Jah kembali semula ke dapur, meneruskan kerja memasaknya yang terhenti seketika tadi.

"Inilah bilik Idham. Suka tak?" Kamil bersuara sebaik saja pintu bilik yang telah mereka khaskan untuk Idham, terbuka.

Idham tidak memberi sebarang komen. Dia melangkah masuk. Perlahan-lahan menuju ke jendela. Kemudian berpaling semula memandang ibu dan ayah angkatnya yang sedang berdiri di muka pintu.

"Id tak pernah termimpi untuk dapat bilik tidur sendiri macam ni. Bagi Id, apa yang Bonda sediakan kat Rumah Bakti tu dah cukup sempurna untuk Id. Terima kasih.." suara Idham agak sayu ketika menuturkan ucapan terima kasih terhadap kedua-dua ibu dan ayah angkatnya.

"Idham..." Jamilah segera menghampiri Idham lantas memeluk kanak-kanak berusia 11 tahun itu. Dia mengusap lembut belakang badan Idham, cuba untuk menenangkan perasaan kanak-kanak itu. Kamil juga turut menghampiri mereka berdua.

"Mulai saat ini, Idham kena panggil kami papa dan mama..boleh?" pinta Kamil sambil menanti persetujuan Idham. Pandangannya bertembung dengan pandangan Jamilah.

"Kalau uncle tak kisah, Id ikut je.."

"Eh, tak mahulah sebut uncle lagi. Panggil saja papa, boleh kan?" Kamil segera membetulkan panggilan Idham terhadapnya.

"Baiklah papa. Bertuah rasanya diberi peluang untuk ada keluarga yang sempurna macam ni. Id pun tak pernah kenal siapa ibu dan ayah sebenar Id, siapa keluarga Id.."

"Idham adalah anak mama dan papa mulai saat ini. Idham takkan keseorangan lagi. Mama dan papa sentiasa ada di sisi Idham," balas Jamilah, menenangkan Idham.

Idham memeluk Jamilah. Dia hampir tidak terkata lagi. Dia benar-benar bersyukur kerana dipertemukan dengan keluarga angkat yang amat baik hati seperti Kamil dan Jamilah. Selama ini, hidupnya hanya dikelilingi oleh teman-teman di Rumah Bakti. Baginya, Bonda Suraya adalah ibu kepada mereka semua. Mereka yang tidak bernasib baik seperti dirinya.

Masih dalam pelukan ibu angkatnya, Idham terkenang nasib teman-teman rapatnya. Adakah Reza, Hakimi, Sarah dan Hanan juga bernasib baik seperti dirinya? Bagaimana jika mereka tidak mendapat keluarga angkat seperti keluarga angkatnya? Idham segera berdoa agar teman-temannya juga menemui keluarga angkat yang baik hati sepertimana dia bertemu dengan Kamil dan Jamilah.

"Idham rehatlah dulu. Mama nak tolong Mak Jah masak. Hari ni kita semua akan makan masakan yang sangat istimewa, untuk menyambut ketibaan ahli baru rumah ni.." kata Jamilah sambil mencuit hidung Idham.

"Kalau Idham tak suka dengan susun atur bilik ni, Idham boleh cakap dengan papa. Nanti papa akan tukar, ikut selera Idham..okay..?"

"Id suka sangat dengan bilik ni, papa. Tak perlu tukar apa-apa. Satu je Id nak minta dari mama dan papa, boleh..?" Idham tiba-tiba merasa bersalah dengan permintaannya itu. Sudahlah dia baru tiba di rumah itu sebagai anak angkat. Kini, dia memandai pula membuat permintaan dari kedua-dua ibu dan ayah angkatnya.

"Apa dia, sayang?" tanya Jamilah lembut. Kamil mengerutkan dahi menunggu permintaan Idham. Pelbagai andaian muncul di kotak fikirannya. Apakah persediaan mereka untuk menyambut kedatangan Idham ke rumah itu belum cukup memuaskan hati?

"Id lebih suka kalau mama dan papa panggil Id. Id dah terbiasa dengan nama panggilan macam ni," Idham segera menyuarakan permintaannnya itu.

"Tapi nama Idham tu kan sedap didengar.." balas Kamil perlahan.

"Baiklah, Id. Mama dan papa setuju.." pantas Jamilah memotong kata-kata suaminya. Kamil memandang wajah Jamilah, yang mengisyaratkan agar bersetuju saja dengan permintaan Idham itu.

"Yelah..menurut perintah.." sambung Kamil, disusuli oleh tawa kecil Idham. Idham lantas memeluk ayah angkatnya yang kini turut tertawa bersamanya.

No comments: