“Reza tak boleh buat keputusan macam ni. Mama dan papa dah setuju!” bentak Suhana. Dia masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa Reza tidak mahu menerima dirinya sebagai isteri.
“Selama ni Reza anggap kakak macam kakak Reza sendiri. Macam mana Reza nak kahwin dengan kakak..?” balas Reza, tidak mahu mengalah. Dia semakin hairan dengan sikap Suhana. Bagaimanalah gadis itu boleh menyimpan perasaan terhadapnya?
“Tapi Ana bukan kakak kandung Reza. Tak jadi masalah kalau kita nak kahwin, kan..?”
“Ya Allah, bawa mengucap kakak! Kalau kakak teringin sangat nak berumahtangga, kakak carilah lelaki yang lebih layak. Reza bukan lelaki yang sesuai untuk kakak. Dan Reza tak akan mengahwini kakak!”
Suhana menghempas pintu bilik Reza. Dia bergegas keluar dari bilik lelaki itu dengan harapan mahu bertemu dengan mama dan papa mereka. Lelaki yang selama ini menjadi idaman telah mengecewakan dirinya. Suhana masih tetap berdegil mahu mengahwini lelaki itu. Hanya dengan ikatan perkahwinan saja yang akan membuatkan Reza terus dekat dengan dirinya. Tidak sanggup melepaskan lelaki itu ke pangkuan perempuan lain.
“Kenapa ni, Ana? Masam je muka…” tegur Dato’ Hasrul ketika terlihat wajah Suhana yang agak muram itu.
“Reza tu menyakitkan hati Ana!” Suhana terus mengadu.
Aduan Suhana itu menarik perhatian Dato’ Hasrul. Dia memanggil anak gadisnya itu duduk di hadapannya. Suhana terus saja duduk tanpa sebarang bantahan. Dia mula menyusun ayat untuk diberitahu kepada Dato’ Hasrul tentang keputusan Reza.
“Ana nak cepatkan majlis kahwin ni, papa! Tak boleh tunggu lama-lama. Nanti Reza buat hal pula..”
“Papa tak nak buat sesuatu dengan tergesa-gesa. Papa dan mama akan cuba untuk pujuk Reza supaya dia bersetuju dengan perkahwinan ni,” lembut Dato’ Hasrul bersuara, menenangkan hati panas Suhana.
“Tapi Reza dah buat keputusan. Dia tetap tak mahu memperisterikan Ana,” Suhana memberitahu Dato’ Hasrul mengenai keputusan Reza itu.
“Reza dah anggap Ana macam kakak dia dari kecil lagi. Tentulah susah untuk dia terima Ana. Ana kena bagi dia masa. Ambillah hatinya. Jangan asyik nak berkeras je,” pujuk Dato’ Hasrul. Ketika Suhana memberitahu tentang perasaannya terhadap Reza, dialah lelaki yang paling gembira sekali dengan berita tersebut. Hasratnya untuk menguatkan lagi ikatan kekeluargaan dengan Reza semakin menjadi nyata. Dia terus saja bersetuju dengan permintaan Suhana yang mahu mengahwini Reza.
“Tapi, Ana tak nak jadi kakak Reza!”
“Ana tetap akan berkahwin dengan Reza, walau apa pun keputusan dia. Reza tak akan berani menentang keputusan papa. Ana bersabar ye, sayang...” pujuk Dato’ Hasrul lagi. Suhana kembali tenang. Dia mulai tersenyum mendengar kata-kata Dato’ Hasrul yang berupa jaminan itu.
Suhana kemudian meminta diri untuk kembali ke dalam biliknya. Dato’ Hasrul tidak membantah. Dia mengeluh sebaik saja langkah Suhana jauh meninggalkannya. Impiannya selama ini untuk memiliki anak kandung lelaki tidak pernah tertunai. Dia yang disahkan mandul oleh doktor merasa begitu kecewa. Segala hasil penat lelahnya selama ini tiada siapa yang akan mewarisinya.
Namun, dia bersyukur kerana isterinya sentiasa berada di sisi. Tidak pernah walau sekalipun, Datin Noraini melahirkan hasrat untuk bercerai kerana ingin memiliki zuriatnya sendiri. Malah, wanita itu juga yang mencadangkan agar mereka mengambil anak angkat bagi melengkapi kehidupan mereka berdua.
Kehadiran Reza di dalam keluarga itu benar-benar menceriakannya. Tambahan pula, Reza merupakan anak yang amat berbudi bahasa dan tahu menghormati orang lain. Bukan tidak pernah Dato’ Hasrul melihat Reza membantu orang gaji di rumah mereka melakukan kerja-kerja rumah. Dia pernah menegur sikap Reza. Namun, anak angkatnya itu tidak mahu mengikut katanya.
Dato’ Hasrul juga tahu akan persahabatan Reza dengan teman-teman di sekolah mahupun di kolej. Reza tidak berkawan dengan anak-anak orang kenamaan. Reza lebih selesa berkawan dengan mereka yang bertaraf biasa dan sederhana. Walaupun Dato’ Hasrul merasakan sikap Reza itu sebagai langkah yang tidak baik untuk terus kekal menjaga nama baiknya sebagai seseorang yang berstatus penting dalam masyarakat, namun dia tidak boleh berkeras dengan Reza. Dia tidak mahu Reza lari meninggalkan mereka jika dia terlalu berkeras. Walaupun dia tahu Reza tidak akan membantah setiap arahannya, namun dia bimbang jika Reza memberontak di dalam diam.
Kali ini, Dato’ Hasrul akan pastikan Reza mesti menurut perintahnya. Reza mesti menikahi Suhana, tanpa ada satu alasan untuk menolaknya. Hanya itu saja caranya untuk dia pastikan Reza kekal menjadi anaknya.
Perlahan-lahan Dato’ Hasrul meraup wajah tuanya. Betapa sayangnya dia terhadap Reza, sehinggakan dia tidak sanggup kehilangan anak itu. Dia tahu dia tidak silap memilih Reza sebagai anak angkatnya, 10 tahun yang lalu.
* * *
“Kau cubalah berbincang dengan orang tua kau. Mungkin mereka akan faham. Hal kahwin macam ni mana boleh dipaksa,” tenang Idham memberikan pendapatnya.
“Susah sikitlah nak bincang dengan papa dan mama. Diorang macam suka je kalau aku kahwin dengan kak Ana tu!”
“Ataupun, kau beritahu je yang kau dah ada pilihan lain. Apa susah..?” Idham sekali lagi memberikan pendapat yang berbeza.
“Masalahnya aku memang takde pilihan lain. Lagipun, aku tak pandai menipulah, Id…”
Idham memandang wajah Reza. Memang temannya itu tidak pandai menipu. Ketika mereka kecil dahulu, Reza merupakan antara teman-teman yang sering dibuli kerana kelurusan sikap yang dimilikinya.
“Eh, Sarah kan ada?” tiba-tiba Idham bersuara, mengejutkan Reza. Kedua-dua mereka saling berpandangan.
“Kau ni tak habis-habis dengan Sarah. Aku dengan dia tak pernah ada apa-apalah! Mungkin Sarah pun dah ada boyfriend,” balas Reza tersipu-sipu. Dia tidak menfikan bahawa Sarah memang teman rapatnya. Malah, mereka berdua sering menghabiskan masa bersama-sama ketika di Rumah Bakti dahulu. Namun, dia sendiri sukar untuk mentafsirkan hubungan itu atas dasar teman atau sebaliknya.
“Alah, korang sama-sama ada hati, kan..? Cuma malu nak mengaku je. Apa kata kau mulakan dulu. Gentleman la sikit, kawan!” ujar Idham sambil tersengih-sengih.
“Ish, mengarutlah kau ni, Id! Tak mungkinlah Sarah tu suka kat aku. Dia anggap aku macam kawan dia je..”
“Takpe…kalau kau malu nak mengaku dengan Sarah, biar aku tolong beritahu dia bagi pihak kau, macam mana..?” Idham semakin bersemangat dengan ideanya itu.
Reza sekadar menggelengkan kepala. Masak benar dengan sikap Idham yang suka mengusiknya. Dalam fikirannya sudah terbayangkan wajah Sarah. Namun, tiba-tiba dia berubah fikiran. Ada sesuatu dalam benaknya yang mengganggu sejak pertemuan mereka semalam.
“Aku ada agenda lain, Id. Kau jangan cakap apa-apa dengan Sarah. Biarlah dia kekal menjadi teman rapat aku. Tapi, untuk mengambilnya sebagai isteri, itu perkara yang agak mustahil buat masa ni,” tingkah Reza tiba-tiba.
“Agenda apa yang kau maksudkan..?” tanya Idham ingin tahu.
Reza hanya tersenyum. Dia tiba-tiba terasa malu untuk berterus-terang dengan Idham tentang agendanya. Yang pasti, ia bukan melibatkan Sarah.
“Okay. Bila kau dah bersedia nak cerita, kau cari je aku. Tapi, pasal Sarah tu…kalau kau nak aku tolong cakapkan bagi pihak kau pun, aku boleh tolong,” ujar Idham. Turut tersenyum melihat Reza yang hanya mengangkat keningnya, sebagai tanda dia faham dengan kata-kata itu.
Idham kembali bercerita seperti biasa. Banyak perkara yang mereka bualkan setelah 10 tahun tidak bertemu. Idham yang bercita-cita besar untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya seperti ayah angkatnya, turut bercerita tentang hasrat untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.
Reza sekadar memasang telinga, mendengar impian teman baiknya itu. Banyak perkara sedang bermain di mindanya. Alangkah bagusnya jika dia tidak punya kakak angkat, atau mungkin lebih baik jika dia tidak diambil sebagai anak angkat kepada pasangan Dato’ Hasrul dan Datin Noraini. Hampir saja dia mengeluh jika tidak memikirkan Idham yang kini berada di hadapannya.
“Tadi, Sarah ada beritahu aku tentang hal Azlyn,” Idham menukar topik perbualan setelah melihat wajah Reza yang kelihatan tidak bermaya itu.
“Kenapa dengan Azlyn?” pantas Reza bertanya.
“Sarah dan Kimi nak selidik tentang hal adik bongsu kita tu. Diorang risau sangat dengan keadaan dia. Aku rasa awal pagi tadi Sarah dan Kimi dah ke rumah Lyn,” beritahu Idham. Dia menyedut minumannya sambil memikirkan tentang sebarang hal yang mungkin akan didedahkan oleh Sarah mahupun Hakimi nanti.
“Kenapa diorang tak ajak kita sekali..?”
Idham mengangkat bahu. Dia sendiri mengetahui akan perkara itu awal pagi tadi. Itupun hanya kerana dia menelefon Sarah untuk mengajak gadis itu keluar bertemu Reza. Setelah diberitahu bahawa mereka berdua ingin ke rumah Azlyn, Idham terus mendesak untuk tahu perkara sebenarnya. Namun, Sarah hanya boleh berjanji untuk memberitahunya selepas dia kembali dari rumah Azlyn.
“Kau rasa besar sangat ke masalah Lyn tu..?” tanya Reza lagi.
“Hmm..Lyn yang kita kenal bukan jenis menipu, kan? Jadi, aku percaya dengan setiap apa yang keluar dari mulut dia. Dia tak akan mereka cerita untuk meraih simpati kita,” jawab Idham penuh yakin.
“Apa kata kita call Sarah..?”
“Nak buat apa..?” Idham bertanya balas.
“Nak tahu apa yang diorang buat kat rumah Lyn. Boleh ajak Sarah dan Kimi lepak sekali dengan kita.”
Idham bersetuju. Dia segera mendail nombor telefon bimbit Sarah. Buat seketika, panggilannya tidak dijawab. Idham terus mencuba lagi. Sambil membuat muka yang tidak berpuas hati kerana panggilannya tidak dijawab, Idham terus menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.
“Biar aku cuba pula…” kata Reza sambil mendail nombor telefon Sarah. Namun, belum sempat dia mendengar deringan pertama, telefon bimbit Idham pula yang berbunyi. Panggilan dari Sarah itu membuatkan Idham kembali tersenyum. Dia menunjukkan nama Sarah yang terpamer pada skrin telefon bimbitnya kepada Reza.
Perbualan antara Idham dan Sarah kedengaran agak tergesa-gesa. Idham hanya mengiakan saja apa jua yang diberitahu oleh Sarah. Reza yang terasa ingin menyampuk segera disabarkan oleh Idham.
“Nanti Sarah dan Kimi nak datang sini. Kita tunggu diorang kejap,” beritahu Idham sebaik saja dia memutuskan talian telefon.
“Ada masalah ke..?”
Idham sekadar mengangguk. Kata-kata Sarah tentang kehidupan Azlyn masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia berkira-kira sama ada mahu memberitahu kepada Reza terlebih dahulu sebelum tibanya dua lagi sahabat mereka. Namun, dia juga berfikir adalah lebih baik jika Sarah dan Hakimi sendiri yang memberitahu tentang perihal Azlyn itu. Mereka berdua boleh menceritakan dengan lebih jelas jika Reza ingin bertanya apa-apa.
Reza juga nampaknya berfikiran sama seperti Idham. Dia mahu bertanya kepada lelaki itu tentang apa yang telah diberitahu oleh Sarah. Namun, dalam masa yang sama dia juga ingin mendengar sendiri dari mulut Sarah dan Hakimi tentang apa jua hal yang telah menimpa diri Azlyn.
Pelbagai andaian dibuat sehinggalah akhirnya Idham dan Reza berbincang tentang perihal teman mereka itu. Menanti kedatangan Sarah dan Hakimi membuatkan mereka terasa masa begitu perlahan berlalu.
“Assalammualaikum…”
Serentak Reza dan Idham menoleh ke arah suara yang memberi salam itu. Sambil masing-masing menjawab salam, mereka bersalaman sesama sendiri.
“Lama tunggu..?” tanya Sarah. Mukanya agak kemerahan menahan cuaca yang panas terik.
“Takdelah lama sangat. Korang dari rumah Lyn terus ke sini ke..?” balas Idham, lalu terus bertanyakan soalan kepada Sarah dan Hakimi.
“Aku ingat tadi nak terus ke tempat kerja Lyn. Tapi, Sarah dapat call dari kau pula. Tu yang datang sini dulu,” jawab Hakimi. Dia tercari-cari pelayan kedai makan tersebut untuk membuat pesanan.
“Ceritalah pada kami apa yang korang buat kat rumah Lyn tadi,” desak Reza tidak sabar. Dia memandang wajah Sarah dan Hakimi silih berganti dengan penuh harapan.
Hakimi menarik nafas, dalam. Dia memandang Sarah, jelas gadis itu juga menanti untuk berbual lebih lanjut tentang teman mereka, Azlyn. Pertemuan dengan abang angkat Azlyn sebentar tadi benar-benar mengganggu jiwanya. Hakimi menukar perasaan tenangnya kepada satu keluhan yang panjang.
2 comments:
alamak....dylla dah men novel la....tak penat ker dok menaip panjang2 utk 1 entry??
@Si BuDaK KaChAk : nak kata penat tu memang tak penat la..sebab novel ni sy dah tulis lama..just copy je kt blog sy ni haa..hehe :)
Post a Comment