** Hasil penulisan Fatimah Syarha **
** Sekadar perkongsian bersama (Sumber : my email) **
Generasi Berkasih Sayang
Sediakan Niat
Saya ingin bicarakan isu yang cukup penting. Tentang kasih sayang. Terlebih dahulu, mari sama-sama kita sediakan niat. Bersihkan iri. Bersihkan umpatan di hati.
Duhai hati, apa khabar niatmu? Wujudkah Allah dalam detik hati kita saat ini? Mari kita muhasabah.
Keikhlasan niat ada kuasa. Ia akan mencerahkan kefahaman kita tentang kasih sayang. Lalu, mampu meledakkan perpaduan yang luar biasa. Itu yang kita impikan. In sha Allah.
Syukuri, kita punya Allah yang sama. Ditugaskan dengan tugas yang sama, sebagai hamba dan khalifah-Nya. Dan akan kembali kepada-Nya, akhirat yang sama.
Generasi Muda yang Dihargai
Apabila membaca surah al-Kahfi, ayat 13, saya rasa bersemangat.
"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka." (Surah al-Kahfi : ayat 13)
Daripada ayat ni, kita dapat mengetahui betapa Islam sangat mengiktiraf sumbangan anak muda. Menyayangi anak muda. Ambil berat peranan anak muda. Pemuda-pemudi beriman, hidupnya ada petunjuk. Jelas dan terarah.
Kalau anak muda tiada kasih sayang kepada aqidahnya, maka agama ini akan kekurangan ansoorullah, penolong-penolong agama Allah. Allah tidak rugi tapi kita akan rugi sebab tidak terpilih sebagai ansoorullah.
Anak muda bagaikan hero dan heroin dalam filem dunia. Anak muda sarat tenaga. Anak mudalah yang membuatkan dunia ini penuh dengan percaturan. Mereka yang selalunya merubah sejarah. Mengubah jalur berfikir. Mencorak peradaban.
Tanpa ragam anak muda, dunia ini sepi bagai di tanah kuburan. Tidak seronok. Anak mudalah yang akan mengubah dunia hari ini yang penuh air mata kepada dunia yang lebih bahagia. Penuh kasih sayang. Penuh keajaiban akhlak.
Rahsia Kekuatan Kasih Sayang
Apabila kita berkasih sayang, kita kuat. Apabila kita berpecah belah, kita lemah. Para sahabat Nabi SAW kuat, kenapa? Antara sifat mereka :
“Keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya berkasih sayang serta berbelas kasihan sesama sendiri (umat Islam).” (Surah Al-Fath : ayat 19)
Bangsa Yahudi, lemah dan kalah di Madinah pada zaman Nabi Muhamad SAW, kenapa? Allah dedahkan sikap mereka dalam Surah al-Hasyr, ayat 14.
“Permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah kuat. Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak menggunakan akal.”
Kita takut, inilah juga sikap kita pada zaman ini. Apabila suara kita lantang berbunyi, ia lantang untuk mencela sesama sendiri. Apabila kita bergerak dengan penuh kekuatan, kita bergerak untuk berperang sesama orang Islam. Nauzubillah.
Jadilah Daie yang Sarat Cinta
Berkasih sayang, akhlak yang hilang. Orang yang mahu berkasih sayang sesama semua umat Islam, terasa asing. Tidak mengapa, Nabi sudahpun memujuk, beruntunglah orang yang asing.
Orang yang cuba masuk dengan semua orang Islam, macam buat benda salah pula. Bukankah itu jiwa daie? Mendekati, bukan hanya tahu mencaci. Ramah, bukan asyik marah-marah.
Seorang daie memandang semua orang dari kaca mata dakwah. Penuh potensi untuk didekati. Bukan melabel dan melontar dengan 1000 maki.
Para sahabat memiliki akhlak berbaik sangka. Akhlak mereka berkasih sayang. Akhlak mereka bersaudara, walaupun tika peristiwa fitnah berlaku.
Mereka tetap sangat percaya pada kemuliaan sesama para sahabat. Mereka lahir daripada tarbiyah Nabi. Mereka tahu Nabi sangat menganjurkan akhlak berkasih sayang.
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Bukhari)
Tidak hairanlah, para sahabat memperjuangkan akhlak mulia. Dalam apa jua situasi. Sebab itu, dalam peristiwa berdarah Perang Jamal dan Perang Siffin, kita masih nampak keajaiban akhlak para sahabat. Jom kita menjiwai.
Jiwa Mereka Masih Bersatu Biarpun Tika Berseteru
“Khalifah terbunuh!!!!!!!!!!!”
Kecoh umat Islam apabila terdengar tentang pembunuhan zalim ke atas Sayyidina Uthman.
“Bunuh balas! Qisas segera.”
Gesa satu kelompok. Ini kelompok Sayyidatina Aisyah, Talhah dan az-Zubayr. Mereka mahukan pembunuh Uthman segera dihukum mati.
“Wait ok. First thing first.”
Ada pihak yang mahu menangguhkan dulu hukuman bunuh balas, sebagai satu strategi nak selesaikan pihak pemberontak yang sedang kuat. Ini kelompok Sayyidina Ali.
Kelompok Aisyah dan kelompok Ali ini, tiada niatpun hendak membunuh antara satu sama lain. Mereka menjadi mangsa keadaan. Jika dikaji lebih mendalam, ada komplot jahat puak pemberontak yang menghuru-harakan keadaan. Zaman ni pula sistem komunikasi tidak secanggih hari ni.
Zaman itu, pemberontak senang bercampur sekali dalam angkatan pejuang Ali. Sebab itu akhirnya, puak Ali dan Aisyah berperang dalam jiwa rasa terpaksa.
Dalam perang ni, Talhah terbunuh. Talhah daripada kelompok Aisyah. Tapi, Ali sangat bersedih dengan kematian ‘lawan’nya tika itu.
Apa kata Sayyidina Ali?
“Semoga Allah merahmatimu wahai Abu Muhammad (Talhah). Amat berat perasaanku melihatmu diserang di bawah bintang dan langit. Aku mengadu kepada Allah kelemahanku dan rasa dukacitaku. Aku lebih suka kalau aku meninggal 20 tahun yang lalu.” (Ibnu Kathsir, al-Bidayah wa an-Nihayah).
Ini satu akhlak baik sangka yang ajaib, subhanallah!
Ketika unta Aisyah terjatuh, kebisshh! Para sahabat dari pihak Ali bertanya hormat, “Ibu orang beriman, ok ke?.” “Baik!” kata Aisyah.
Ish, tengah perang ni. Boleh sopan santun macam ni! Sebab, jiwa mereka ada kasih sayang meskipun kepada Muslim yang berbeza fikiran dengan mereka.
Ibnu Kathir merekodkan dalam al-Bidayah wa an-Nihayah, “ Jika ada yang mencela Aisyah, Ali akan menghukum orang itu dengan 100 rotan.”
Masyallah! Subhanallah! Ajaib akhlak para sahabat. Masih saling membela walaupun tika bersengketa.
Berselisih Biasa, Berpecah Binasa
Anak mudaku sayang,
Jangan biarkan jurang persaudaraan kita terlalu lebar. Kita sama-sama umat Islam. Dunia ini terlalu banyak jerat dan perangkap. Terlalu banyak racun yang dibancuh di sebalik manisan yang zahir. Rapatkan barisan. Rapatkan bulatan. Apa-apa sajalah istilahnya. Rapatkan saff sesama umat Islam.
Jangan biarkan jurang persaudaraan kita terlalu lebar. Kita sama-sama umat Islam. Dunia ini terlalu banyak jerat dan perangkap. Terlalu banyak racun yang dibancuh di sebalik manisan yang zahir. Rapatkan barisan. Rapatkan bulatan. Apa-apa sajalah istilahnya. Rapatkan saff sesama umat Islam.
Berbeza pendapat itu biasa. Berbeza mazhab itu biasa. Berbeza parti itupun biasa. Tapi berperang, mengganas, melabel untuk membenci, memurtadkan orang lain, itu bahaya. Jika kita fahami perbezaan, menerima dan menghargai perbezaan, mensyukuri persamaan, kita akan berkasih sayang.
p/s : memang sangat suka baca buku-buku yg ditulis oleh Fatimah Syarha ni (",)
~ Dylla Abas ~
1 comment:
penuh motivasi..
Post a Comment