Assalammualaikum wbt. Sebagai seorang isteri, ibu dan juga peniaga online, pengurusan masa merupakan salah satu faktor penting untuk Kak D bagi memastikan setiap tugasan dapat diselesaikan tepat pada masanya.
Macam mana caranya nak uruskan masa dengan baik?
Bagi yang selalu rasa tak cukup masa, atau selalu terkejar-kejar masa, atau tak tahu macam mana nak uruskan masa, Kak D nak share tips yang mungkin berguna untuk kita semua.
Tips ini telah dipraktikkan dan alhamdulillah, sangat berkesan untuk Kak D.
1. Senaraikan semua tugasan
Buat satu senarai tugasan harian kita. Ini termasuklah hal-hal menguruskan rumah, anak dan bisnes. Apa rutin yang selalu kita buat dalam tugasan itu. Senaraikan.
2. Sediakan jadual yang efektif
Buat jadual bermula dari waktu bangun tidur sehinggalah hendak masuk tidur semula. Ikut jadual yang telah dibuat. Mungkin di awalnya agak susah, tapi sentiasalah menyusun semula jadual sehingga ianya benar-benar efektif untuk kita.
3. Pembahagian masa
Bahagikan masa mengikut apa yang telah kita jadualkan. Sekiranya kita merancang untuk mengemas rumah di dalam tempoh sejam contohnya, pastikan tugasan itu selesai mengikut tempohnya. Jika tidak sempat, cuba cari puncanya. Mungkin sepanjang menyelesaikan tugasan tu, kita sempat nak belek-belek telefon, jadi ketepikan dulu aktiviti belek-belek telefon tu.
4. Multi-tasking
Ada beberapa jenis tugasan yang kita boleh selesaikan di dalam tempoh masa yang sama. Contohnya, sambil mengemas rumah, kita boleh membasuh baju. Kita kena bijak mengatur. Okay?
5. Konsisten dan disiplin
Apa jua perkara yang kita buat, mesti kena konsisten dan berdisiplin. Kalau tak, memang sia-sialah segala apa yang telah kita rancang dan jadualkan. Sekiranya kita kekal konsisten, mungkin kita tidak perlu lagi jadual untuk rutin dan tugasan yang biasa kita lakukan.
Untuk semua tips ni, Kak D cadangkan supaya kita kuatkan mental kita terlebih dahulu. Sebab semuanya bermula dari dalam diri. Sekiranya mental kita lemah, segala apa yang kita rancang pasti tak menjadi.
Masa memang tak dapat dikawal. Tapi boleh diuruskan. Janganlah kita menjadi manusia yang banyak membazirkan masa. Janganlah kita menjadi orang yang rugi, kerana Allah telah berfirman di dalam Surah al-Asr,
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali bagi orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."
Semoga kita dapat memanfaatkan setiap masa kita dengan sebaiknya. Bijak mengurus masa, bijak jugalah mengurus hidup. In shaa Allah.
Loves,
Dylla Dalila
No comments:
Post a Comment